Jabatan Pendidikan Terengganu sahkan terima laporan pelajar bergaduh - Utusan Malaysia

Jabatan Pendidikan Terengganu sahkan terima laporan pelajar bergaduh

TANGKAP layar daripada video di aplikasi TikTok menunjukkan seorang pelajar yang cedera selepas bergaduh di sebuah sekolah menengah di Kuala Nerus, Khamis lalu. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian pukul melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini pada Khamis lalu.

Menurut Pengarah JPNT, Abdul Muie Ngah, insiden itu dipercayai membabitkan pelajar tingkatan satu dan dua serta berlaku selepas waktu persekolahan di dalam kawasan sekolah tersebut.

Menurutnya, guru sekolah berkenaan telah mengambil langkah segera sebaik mengetahui kejadian itu dengan membawa pelajar berkenaan ke sebuah klinik untuk menerima rawatan.

Selain itu, ujarnya, pihak sekolah termasuk pengetuanya juga telah berjumpa keluarga terlibat bagi mencari jalan penyelesaian, namun masih menanti hasil pertemuan itu sehingga kini.

“Kejadian difahamkan berlaku dalam kawasan sekolah ketika pelajar terlibat mahu pulang ke rumah.

“Pihak kami masih menyiasat secara terperinci punca sehingga boleh berlaku pergaduhan ini dan daripada laporan awal diterima, insiden ini membabitkan pelajar tingkatan satu dan dua.

“Buat masa ini, pihak sekolah mengambil langkah berjumpa keluarga mangsa dan jika mereka mahu membuat laporan polis, JPNT akan memberi kerjasama penuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video memaparkan seorang pelajar tingkatan satu didakwa menjadi mangsa buli dan dipukul tiga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini.

Video sama turut mendakwa mangsa telah ditumbuk sehingga sesak nafas dan dipijak sehingga pengsan sambil disaksikam ramai pelajar lain namun tidak mampu berbuat apa-apa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya