ARAU: Masalah beras mahal melibatkan isu global yang dijangka stabil apabila India kembali membuka sekatan eksport makanan ruji berkenaan.
Jika sekatan tersebut kembali dibuka, situasi bekalan beras kurang dan soal ketidaktentuan kenaikan harga makanan tidak akan timbul.
Namun, persoalannya, sampai bilakah kerajaan India boleh berbuat demikian?
Mengikut rekod pada 2022, Malaysia terpaksa mengimport sebanyak 1.11 juta tan metrik beras membabitkan negara Vietnam, 37.2 peratus, Pakistan (36.99 peratus), Thailand (12.9 peratus) dan India 8.6 peratus atau sebanyak 95,263 tan metrik.
Kebergantungan import beras negara ketika ini adalah sebanyak 35 peratus dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah sebanyak 2.4 juta tan metrik setahun dengan anggaran seorang penduduk menggunakan sebanyak 79 kilogram makanan ruji berkenaan dalam tempoh itu.
Mengikut data 2021, negara ini hanya menghasilkan 1.7 juta tan metrik beras setahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, isu beras mahal adalah melibatkan global dan bertukarlah kerajaan mana sekali pun tidak boleh menyelesaikan isu ini.
Katanya, hal demikian disebabkan titik punca dan solusinya sebenarnya adalah di India dengan apabila negara itu kembali membuka sekatan eksport, situasi mungkin reda semula.
“Sekarang yang biasa makan nasi beras import sudah beralih cari beras tempatan. Dahulu warga asing seperti India dan Bangladesh makan beras Basmathi, tapi sekarang mereka juga sibuk cari beras tempatan.
“Isu beras mahal sekarang ini adalah isu global, sebab titik punca dan solusinya ada di India. India buka eksport, mungkin reda semula,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport beras.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, pertemuan itu antara lain bagi mengemukakan permohonan kepada kerajaan India untuk meneruskan pengeksportan beras putih ke negara ini, namun, setakat ini masih belum mendapat maklum balas daripada kementerian tersebut.
“Apabila mereka menyekat aktiviti eksport beras putih secara mengejut, itu membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia. Beras Basmathi masih boleh diimport dengan banyak, tetapi harganya adalah lebih mahal.
“Oleh sebab itu, kita nak berbincang secara kerajaan dengan kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras tempatan yang melanda negara ketika ini,” kata Mohamad.
Mengulas lanjut, Ezreen Muhaizi berkata, isu sekarang adalah berkaitan harga dan soal ketidakcukupan beras sebenarnya tidak timbul.
“Perspektif kekurangan beras yang ditimbulkan adalah kekurangan beras tempatan yang murah.
“Apabila perbezaan harga yang terlalu tinggi antara beras tempatan dan import, maka berlaku peralihan pembelian oleh pengguna yang sebelum ini biasa membeli beras import.
“Ditambah pula dengan media sosial yang mudah memviralkan isu semasa, maka lebih mudah berlaku pembelian panik oleh pengguna,” katanya. -UTUSAN










