Fokus keberkesanan kos, kondusif elak pelabur lari

Fokus keberkesanan kos, kondusif elak pelabur lari

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia 18 September 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus kepada keberkesanan kos dalam menjalankan perniagaan yang menarik dan kondusif kepada pelabur-pelabur asing supaya mereka tidak lari ke negara ASEAN yang lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelabur asing biasanya akan mengambil kira kos yang akan dikenakan terhadap mereka jika membuat pelaburan di negara luar.

Menurutnya, semakin rendah bagi kos perniagaan yang dikenakan termasuk upah pekerja, sewa bagi utiliti, logistik dan persekitaran yang sesuai, ia akan meningkatkan pelaburan asing di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun negara ini terpaksa bertanding dengan negara-negara jiran ASEAN dalam menyediakan persekitaran yang boleh memberikan kos bagi menjalankan perniagaan yang rendah, kerajaan perlu berhati-hati untuk tidak terlalu meletakkan kos yang terlalu rendah.

“Kos menjalankan perniagaan yang paling rendah diukur berasaskan pada efektif kos dengan mengambil kira produktiviti pekerja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara ASEAN harus mengutamakan kepen­tingan untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan di rantau asia tenggara pada masa akan datang.

Rantau ASEAN kekal sebagai destinasi terunggul bagi pelaburan antarabangsa kerana berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus tahun lalu.

Dalam pada itu, kata Barjoyai, perancangan negara dalam memperkasakan gaji yang lebih progresif kepada pekerja juga akan mempe­ngaruhi pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Sebelum ini, pekerja ­asing mendapat gaji yang agak rendah berbanding pekerja tempatan, tetapi apabila gaji minimum diperkenalkan, ha­kikatnya pekerja asing turut dibayar gaji sama tinggi dengan pekerja tempatan.

“Namun begitu, Malaysia masih boleh mengatur strategi menarik pelabur asing kerana dalam masa yang sama, negara ini masih berupaya untuk membawa pekerja asing bagi mengisi tenaga pekerja dalam industri-industri negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­nyarankan supaya kerajaan dapat mempertingkatkan sektor perkhidmatan berikutan 60 peratus daripada pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disumbang daripada sektor tersebut.

“Sektor perkhidmatan ter­sebut termasuk dalam sektor pelancongan pendidikan, pelancongan kesihatan dan pelanco­ngan perniagaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini