Fama Terengganu pasar 1,000 kampit beras tempatan - Utusan Malaysia

Fama Terengganu pasar 1,000 kampit beras tempatan

Kerajaan dicacdang memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memerangi kartel beras sehingga menjejaskan bekalanan makanan ruji rakyat negara ini. - UTUSAN PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu memasarkan sebanyak 1,000 kampit beras tempatan bagi membantu mengatasi isu bekalan beras di negeri ini bermula semalam.

Menurut Pengarah Fama negeri, Nukman Hashim, bekalan itu merupakan langkah intervensi Program Khas Beras Putih Tempatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Jelas beliau, penjualan itu dilakukan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan outlet usahawan di bawah Fama sekaligus menjamin ketersediaan bekalan beras tempatan di pasaran.

Katanya, sebanyak 1,000 kampit beras 10 kilogram (kg) tersebut telah diedarkan ke 38 outlet Fama iaitu Agrobazar Rakyat dan Agrobazar Kedai Rakyat di seluruh Terengganu.

“Dengan langkah ini, pengguna boleh mendapatkan beras tempatan pada harga kawalan iaitu RM26 bagi kampit 10kg dan ini adalah antara inisiatif kementerian yang dilaksanakan melalui Fama.

“Selain diagihkan kepada outlet di bawah Fama, jualan terus kepada orang ramai menerusi program Jualan Agro Madani turut dipergiatkan di seluruh negeri dari masa ke semasa.

“Jumlah ini mungkin tidak cukup bagi memenuhi permintaan namun ini adalah sebagai permulaan yang diharap membantu pengguna berdepan isu bekalan dan harga beras,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Agrobazar Rakyat, Siti Asyikin Amani berkata, dia telah menerima 50 kampit beras tempatan untuk dijual kepada orang ramai sejak semalam lagi.

Siti Asyikin berkata, usaha pihak berwajib mengambil langkah membekalkan beras tempatan sedikit sebanyak melegakan bukan sahaja pengguna bahkan berita baik buat golongan peniaga.

“Sejak isu kenaikan harga beras import yang melambung tinggi, orang ramai mula mencari beras tempatan malangnya terpaksa pula berdepan isu bekalan yang terputus.

“Bekalan (beras tempatan) yang ada sebelum ini ‘licin’ tidak sampai seminggu dan saya pasti bekalan yang baru diterima ini juga akan habis dalam masa singkat kerana lebih murah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya