KUALA LUMPUR: Strategi reformasi dalam struktur ekonomi negara memerlukan iltizam politik oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya melibatkan dasar fiskal.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani berkata, tiga reformasi struktur ekonomi iaitu dasar fiskal, ekonomi baharu serta pertumbuhan dan sektor bernilai tinggi yang disebut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengambil masa terlalu lama untuk meyakinkan para pelabur.
Beliau yakin ia boleh ditangani secara perlahan-lahan sehingga kerajaan berjaya menguruskan dasar-dasar fiskalnya jika mempunyai iltizam politik untuk berbuat demikian.
Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar yang mampu mencecah peratusan pendapatan yang tinggi, hakikatnya tidak sampai kepada golongan sasaran kerana masalah ketirisan.
“Kalau tengok dari segi subsidi bersasar dengan pendapatan yang tidak berapa besar lebih kurang RM290 bilion, tetapi, kalau tengok dari segi kadar subsidi yang kita bayar, daripada jumlah pendapatan yang kita dapat kita hampir mencecah 22 hingga 25 peratus subsidi.
“Sudah tentu ini sangat tinggi. Kalau tinggi sampai kepada sasaran untuk membantu orang tidak mengapa, tetapi, bagaimana kalau tinggi kerana ada ketirisan dan kebocoran,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu semasa mencelah ketika Rafizi menggulung perbahasan bagi kementeriannya sempena Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, banyak isu dibangkitkan beliau dari segi subsidi seperti petrol, diesel, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak memberi kesan besar dan jika kerajaan boleh atasinya, ia akan memberi satu kedudukan dasar fiskal yang bagus.
“Kalau tidak mengubah keadaan pun, sekurang-kurangnya ia akan mencapai kepada sasarannya,” katanya.
Dasar fiskal ialah satu dasar kerajaan yang dilaksana melalui perubahan dasar cukai dan perbelanjaan kerajaan supaya keadaan ekonomi yang stabil dapat dicapai.
Sementara itu, Rafizi pula berkata, jika iltizam politik menjadi kebimbangan Johari, beliau memberi jaminan Kerajaan Perpaduan melakukan tindakan yang betul.
Katanya, kerajaan akan mengubah sepenuhnya subsidi bersasar.
“Bagi tahun 2022, untuk mengukuhkan yang disebut Titiwangsa, kerajaan menanggung subsidi pukal lebih daripada RM80 bilion, ini hanya untuk RON95, diesel, LPG dan elektrik. Hari ini, harga minyak mentah di dunia mencecah 95 dolar setong dan mencecah 100 dolar setong tidak lama lagi.
“Maksudnya, subsidi yang ditanggung kerajaan boleh melepasi RM100 bilion setahun kecuali kita mereformasikan sistem subsidi kita,” katanya. – UTUSAN










