KUALA LUMPUR: Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 17 individu yang ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Ekstrem Lumba Haram di sekitar ibu negara, awal pagi tadi.
Pelajar lelaki tingkatan lima dari sebuah sekolah menengah di kawasan Petaling Jaya itu ditahan kerana melakukan aksi berbahaya wheelie (mengangkat tayar hadapan) di jalan raya.
Ketika ditemui pemberita, remaja terbabit berkata aksi itu dibuat sekadar suka-suka selain mendakwa tidak perasan bahawa tindakan berbahaya itu sedang diperhatikan pihak penguat kuasa JPJ.
Susulan itu, dia ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333] kerana kesalahan mengambil bahagian dalam aktiviti menguji atau menduga kelajuan yang melibatkan satu atau lebih kenderaan motor di jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, manakala kesemua mereka yang ditahan dikumpulkan di Jalan Sultan Ismail untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, dalam operasi yang bermula sejak semalam dan berakhir kira-kira 4.30 pagi itu, daripada 17 individu yang ditahan, lapan daripadanya disiasat di bawah Seksyen 42A(1) dan 42A(2) Akta 333, manakala sembilan lagi melibatkan kes kesalahan pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.
“Sembilan kes itu disiasat di bawah beberapa peruntukan utama dalam APJ 1987, bergantung pada bentuk kesalahan dan tahap bahaya yang ditimbulkan,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi itu di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi turut menahan sebanyak 1,387 motosikal bagi tujuan pemeriksaan.
Aedy Fadly berkata pelaksanaan operasi khas berkenaan merupakan langkah proaktif JPJ dalam membanteras kegiatan pemanduan berisiko tinggi yang bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga boleh mengancam keselamatan dan meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
“Sejak dilaksanakan pada 25 Oktober lepas, operasi khas lumba haram (Seksyen 42A) ini telah merekodkan sembilan kes melibatkan enam kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan satu kes di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 42A yang berkuat kuasa mulai 16 Oktober memperuntukkan kesalahan khusus bagi aktiviti berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya yang membolehkan tindakan undang-undang diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
“Orang awam yang merakam perlumbaan haram atau aksi menduga kelajuan di atas jalan raya juga boleh membuat aduan menerusi aplikasi MyJPJ ataupun melalui e-mel ke [email protected], dan mereka perlu bersedia untuk dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA











