Potensi nadir bumi agenda utama lawatan Macron ke Malaysia

Potensi nadir bumi agenda utama lawatan Macron ke Malaysia

EMMANUEL MACRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keperluan mendapatkan sumber bekalan mineral strategik menjadi antara agenda utama lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia minggu depan dan membuka peluang memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam sektor unsur nadir bumi.

Macron berkata, lawatannya itu juga memberi fokus terhadap usaha mempelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi bagi Perancis.

Katanya, lawatannya itu juga bertujuan memperkukuh perkongsian ekonomi serta melindungi pekerjaan dan industri di Perancis serta seluruh wilayahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Malaysia, saya datang khusus untuk mempelbagaikan bekalan unsur nadir bumi kami. Kita jarang memperkatakannya, namun ia amat penting untuk menghasilkan magnet yang digunakan dalam motor elektrik dan peranti elektronik tertentu,” katanya dalam hantaran menerusi media sosial X semalam.

Macron mengadakan lawatan ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini selepas melawat Kemboja, ia merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak 2017.

Malaysia mempunyai potensi besar dalam industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), dengan potensi nilai pasaran dianggarkan antara RM747.2 bilion hingga RM809 bilion.

Dalam pada itu, Macron berkata, jaminan pelbagai sumber bekalan akan membantu pengeluar Perancis mengurangkan kerentanan terhadap gangguan rantaian bekalan.

“Bagi kilang-kilang kami, ada beberapa sumber bekalan bermakna mengurangkan risiko terpaksa menghentikan barisan pengeluaran akibat kekurangan alat ganti.

“Ia juga bermakna dapat melabur dan menghasilkan produk di Perancis dengan kepastian lebih tinggi mengenai masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan perkongsian antarabangsa yang lebih kukuh adalah penting bagi memastikan daya tahan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan pada sumber bahan kritikal yang terhad.

“Lebih banyak rakan kongsi, kurang kebergantungan. Perjanjian kita membuka pintu. Bahasa, budaya serta persahabatan memastikan ia terus terbuka. Ini baik untuk negara kita,” katanya.

Mengulas lawatan ke Kemboja, Macron berkata, beliau yang diiringi pemimpin perniagaan bagi meneroka pasaran baharu dengan memanfaatkan komuniti berbahasa Perancis serta hubungan ekonomi sedia ada.

“Di Kemboja, saya hadir bersama pemimpin perniagaan untuk membuka pasaran baharu dengan memanfaatkan dunia berbahasa Perancis yang merapatkan hubungan kita,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan peluang untuk kepakaran Perancis menyumbang kepada pembangunan Kemboja, dengan merujuk kepada minat negara itu untuk memanfaatkan pengalaman Rungis International Market, iaitu pasar borong hasil segar terbesar di dunia, bagi membangunkan kemudahan pasar borongnya sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini