BENTONG: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Rosdy Wan Ismail optimis dengan pemilihan tokoh muda UMNO, Datuk Amizar Abu Adam, 53, sebagai calon Pilihan Raya Kecil Pelangai yang dianggap tepat dan menepati kriteria yang diperlukan pengundi.
Menurutnya, Amizar merupakan seorang yang berpendidikan, berjiwa rakyat dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan memang dikenali di semua peringkat Dewan Undangan Negeri Pelangai.
Menurutnya, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu diumumkan sebagai calon BN setelah mengambil kira pandangan semua pihak dan mendapat restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Amizar nak peneroka Felda Chemomoi antara tokoh muda yang digilap oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Bentong.
“Saya penuh yakin para pengundi dapat menerima calon BN dan UMNO yang diyakini dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bagi membangunkan DUN Pelangai,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN di Dewan Majlis Perbandaran Bentong malam, tadi.
Amizar berkelulusan Ijazah Sarjana Strategic Management And Leadership dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Bachelor Of Business Administration With Honours Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurutnya, penampilan pemangku Ketua Bahagian Bentong, Datuk Mohamad Zaini Salleh yang juga antara empat calon terakhir memberi sokongan kepada Amizar membuktikan semangat UMNO tetap kental di jiwanya walaupun tidak terpilih.
Tegasnya, jaminan Rosni secara langsung memberi imej yang baik kepada BN untuk mengekalkan kerusi tradisi UMNO di Pelangai yang dahulunya diterajui Tan Sri Adnan Yaakob sebelum di ganti Allahyarham Johari Harun.
Dalam pada itu, Amizar sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain muncul calon popular walaupun tewas dengan jumlah undi yang kecil.
Selain itu, beliau turut terlibat dengan aktiviti badan bukan Kerajaan (NGO) antaranya Pengerusi Kami Anak Felda Wilayah Mempaga, Bentong.
“Bahawa ini adalah amanah parti dan saya sebagai penyambung legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
“Banyak perkara akan dilaksanakan dan dirangka dan saya bertekad untuk menyambung legasi Allahyarham demi membangunkan Kawasan Pelangai,” katanya.
Menurutnya, DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk pengundi terbesar datangnya dari Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Kemasul.
Proses penamaan calon PRK DUN Pelangai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) di Dewan Felda Kemasul pada Sabtu 23 September ini manakala hari pengundian pada 7 Oktober depan.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu. -UTUSAN