Beras super tempatan licin

Beras super tempatan licin

SEORANG pengunjung melihat bekalan beras tempatan yang habis di sebuah pasar raya di Gua Musang, Kelantan semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekalan beras super tempatan di beberapa kawasan di negeri ini kehabisan stok sejak beberapa hari lalu ekoran permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai berikutan kenaikan harga beras import.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar raya dan kedai runcit di sekitar daerah ini mendapati, kebanyakan premis perniagaan itu hanya mempunyai stok beras import.

Seorang pekerja sebuah pa­sar raya yang enggan dikenali berkata, stok bekalan beras super tempatan habis sejak beberapa hari lalu.

“Setakat ini saya tidak tahu bila stok beras super tempatan akan sampai. Sebagai alternatif pengguna boleh mendapatkan beras super import,” katanya di sini semalam.

Di Gua Musang, pengguna mengakui mereka berdepan kesukaran mendapatkan beras tempatan.

Seorang pengguna, Hamiza Ahmad, 37, berkata, sejak ming­gu lalu dia menyedari bekalan beras tempatan berkurangan.

Katanya, kebanyakan pasar raya pula hanya menjual beras import melibatkan kampit lima kilogram (kg) dan 10 kg.

“Harga beras import yang dijual di pasar raya yang saya kunjungi antara RM15.50 hingga RM21.99 bagi lima kilogram.

“Harga berkenaan mahal ke­rana keluarga saya dalam golongan B40. Kami berharap kerajaan dapat membantu menambah stok bekalan beras tempatan dengan harga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Yunus, 50, berkata, ketiadaan bekalan itu menyulitkan beliau dan keluarganya.

Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada beras tempatan yang lebih murah.

“Saya harap kerajaan dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×