Apa makna kemenangan Pelangai bagi BN dan PN?

Apa makna kemenangan Pelangai bagi BN dan PN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memiliki 17 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang. Sebaliknya atas sokongan lapan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) maka terbentuklah kerajaan Perpaduan antara BN dan PH.

Memandangkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri adalah 22 kerusi daripada 42 DUN, maka BN-PH hanya ada kelebihan tiga kerusi manakala PN pula memerlukan lima DUN untuk menjadi kerajaan.

Namun menjadi persoalan mengapa BN berusaha mengekalkan kemenangan Pelangai manakala PN dilihat berhempas pulas mahu merampas kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober ini.

Jika PN menang sekali pun Pelangai dan berjaya menambah satu kerusi menjadikan 18 kerusi, masih tidak cukup membentuk kerajaan negeri, manakala BN pula tidak terkesan jika kalah satu kawasan.

Dalam erti kata lain, menang atau kalah, BN tetap jadi kerajaan dan PN pula kekal sebagai pembangkang.

Sebenarnya Pelangai menjadi manifestasi bagi kedua-dua pihak untuk mengukur sejauh mana sokongan rakyat khususnya dalam pengundi Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan enam pilihan raya negeri (PRN) serta dua siri PRK iaitu Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada baru-baru ini.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam (dua dari kiri) berkempen di Felda Chemomoi, Bentong.

Apakah pengundi Melayu sudah beralih kepada BN ekoran keputusan mereka bersama PH membentuk kerajaan atau kekal mendokong PN yang majoriti terdiri daripada parti Melayu Islam.

Ini perlunya Pelangai terhadap kedua-dua parti sama ada mereka tewas atau menang dalam usaha meraih sokongan itu.

Apatah lagi lebih 70 peratus pengundi Pelangai adalah kaum Melayu, sudah tentu ia demi misi BN untuk menoktahkan Gelombang Hijau yang dibawa PN ke Pahang sama ada ia berjaya atau sebaliknya.

Begitu juga kepada PN, apakah taktik mereka untuk membawa sentimen isu bekalan beras, kenaikan kos sara hidup dan dakwaan Islam tergugat di bawah kerajaan Perpaduan tercapai atau tidak.

Sebenarnya ada pihak tidak kisah pun apa kesan kemenangan atau kekalahan Pelangai kepada BN mahupun PN meskipun ia penting demi survival politik masing-masing sebagai medan pertempuran kecil sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagi pengundi pula, mereka hanya mahu seorang ADUN yang boleh menggalas tugas sebagai wakil rakyat Pelangai dan menyuarakan suara mereka, bukannya retorik politik tidak kesudahan dan sering melaungkan sentimen dan persepsi tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×