20,469 premis perniagaan jadi projek gajah putih

20,469 premis perniagaan jadi projek gajah putih

PROJEK premis perniagaan yang terbiar dan diselaputi semak samun dan rosak di Kampung Durian Hijau di Jerantut, Pahang. -UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20,469 premis perniagaan daripada jumlah keseluruhan 120,328 terdiri daripada medan selera, pasar awam dan gerai penjaja di seluruh negara masih terbiar dan tidak disewa terutama oleh peniaga-peniaga kecil.

Mengikut data yang didedahkan di Dewan Rakyat, sehingga 30 April 2023 jumlah premis perniagaan yang terbiar paling tinggi terletak di Pulau Pinang iaitu sebanyak 3,693 dan diikuti dengan Perak (2,453) dan Selangor (2,266).

Perkara ini didakwa terjadi apabila premis-premis perniagaan tersebut dibina tanpa ‘sauh’ yang dapat memastikan peniaga-peniaga dapat menjalankan operasi dengan baik.

Jumlah tersebut dibimbangi akan terus meningkat apabila kerajaan terus berhasrat membina lebih banyak tanpa mencari punca premis sedia ada terbiar dan tidak mendapat permintaan daripada peniaga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKMM), Datuk Mohamad Abdullah berkata, terdapat kemungkinan 20,649 premis perniagaan tersebut dibina di kawasan yang tidak sesuai untuk menjalankan operasi perniagaan.

Kata beliau, peniaga memerlukan tempat yang mampu menarik pelanggan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan mencari rezeki, jika tempat perniagaan tersebut tidak mempunyai tarikan maka tiada siapa ingin berniaga di sana.

“Mungkin lokaliti atau tempat berniaga tersebut tidak sesuai, tidak menepati keperluan atau mesra peniaga mahupun pelanggan. Hendak sediakan tempat berniaga itu bagus tetapi pada masa sama mesti memenuhi objektif.

“Peniaga mahukan pelanggan dan pembeli, jika berniaga sampai setahun tetapi tidak mendapat manfaat sudah pasti peniaga akan mencari alternatif lain, mereka akan tinggalkan tapak tersebut.

“Selepas itu, peniaga baru akan masuk tetapi menghadapi perkara sama maka kitar semula macam mana sekali pun tetap tidak akan berhasil. Sebab itu bila hendak bangunkan kawasan peniaga dan penjaja kecil mestilah memberi keutamaan kepada ciri-ciri kawasan iaitu sama ada ‘hotspot’ ataupun tidak.

“Saya setuju dengan usaha ingin bangunkan pusat penjaja seperti apa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sarankan tetapi biarlah ia mesra dengan kehendak peniaga. Jangan buat seolah-olah ‘melepaskan batuk di tangga,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob mengakui terdapat beberapa kawasan perniagaan yang dibina tidak bersesuaian untuk peniaga menjalankan operasi perniagaan mereka.

Jelasnya, apabila premis perniagaan tidak bersesuaian sehingga menyebabkan peniaga tidak selesa adalah antara punca premis perniagaan yang dibina tersebut tidak mendapat sambutan dan menjadi terbiar.

“Jadi lama-kelamaan ini akan menjadi projek ‘gajah putih’, menyakitkan mata dan mencemari pemandangan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan perlu meningkatkan aktiviti promosi untuk memastikan 20,469 premis perniagaan tersebut disewa dan mendapat penghuni.

“Kerajaan kena lakukan promosi, iklankan dan sebagainya. Malah, daripada terbiar kosong sahaja lebih baik beri kepada golongan-golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN