12 lagi pendakwah selebriti dapat tauliah ceramah, mengajar   - Utusan Malaysia

12 lagi pendakwah selebriti dapat tauliah ceramah, mengajar  

M. ROZI BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 12 lagi pendakwah selebriti turut mendapat tauliah ceramah dan mengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), baru-baru ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin berkata, mereka adalah kumpulan yang sama hadir ke sesi temuduga bersama Ustaz Azhar Idrus pada akhir Mei lalu.

Menurutnya, tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab.

“Kita menggalakkan mana-mana individu yang berkelayakan dari segi ilmu agama untuk memohon mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah di masjid dan surau seluruh Terengganu.

“Permohonan mereka akan dinilai daripada beberapa aspek dan kriteria oleh satu jawatankuasa yang diketuai Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Harun.

“Bagaimanapun, bukan semua permohonan akan diluluskan kerana kriteria itu perlu dipatuhi sepenuhnya dan setelah diberi kelulusan, ia perlu dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan bilangan pendakwah selebriti yang mendapat tauliah mengajar dari Maidam selepas Ustaz Azhar Idrus.

Antara 12 lagi pendakwah selebriti tersebut ialah Pencetus Ummah (PU) Syed, Ustaz Abdullah Khairi Haroon, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, Ustaz Ahmad Rizam Ghazali dan Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre.

Ketika ini, terdapat lebih 1,300 individu yang mendapat tauliah mengajar daripada Maidam.

Sebelum ini, JHEAT mengesahkan bahawa Ustaz Azhar adalah antara individu yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri ini.

Isu tersebut bagaimanapun reda apabila Ustaz Azhar dan beberapa individu lain telah hadir secara sukarela untuk memohon tauliah mengadakan ceramah dan kuliah agama pada Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya