Patuhi fatwa, hormati proses tauliah mengajar

Patuhi fatwa, hormati proses tauliah mengajar

SEMUA pihak hendaklah mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menasihatkan semua pihak untuk menghormati proses rayuan yang sedang dilaksanakan menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024. Apa-apa keterangan atau penjelasan berhubung dengan penarikan tauliah tersebut hendaklah dibuat oleh individu mengikut saluran yang sewajarnya melalui rayuan yang telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan dan bukannya dengan menularkannya di media sosial.

MAIS juga menggesa semua pemegang tauliah mengajar agama Islam untuk mematuhi dan tidak melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan.

Dalam hal ini, isu istighathah dan tauhid tiga yang ditimbulkan telah dijelaskan dalam fatwa yang telah diwartakan di Negeri Selangor. Isu istighathah ini iaitu berdoa kepada Allah menerusi (wasilah) para anbiya’, auliya’ dan solihin sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia adalah termasuk dalam perkara khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan para ulama.

Oleh itu, lebih baik dan wajar untuk tidak menghukumkan syirik secara mutlak terhadap perkara yang telah diharuskan oleh sebahagian para ulama. Isu khilafiyyah ini telah dijelaskan dalam Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu’ yang telah diwartakan pada 31 Julai 2014. Fatwa tersebut menjelaskan bahawa pandangan jumhur ulama’ sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.

Berkaitan dengan isu tauhid tiga, perkara ini juga telah dinyatakan dalam Fatwa Hukum Buku Karangan Dr. Mohd Naim Yasin Bertajuk “Al-Iman Arkanuhu Wa Hakikatuhu Wa Mubtilatuhu” dan Buku Terjemahannya Dalam Bahasa Melayu Bertajuk “Al-Iman, Rukunnya, Hakikatnya, Pembatalannya” yang telah diwartakan pada 21 Jun 2018. Fatwa tersebut menjelaskan bahawa buku tersebut adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah kerana mengandungi elemen, antaranya, pembahagian Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ Wa Sifat (Tauhid Tiga) yang tidak disebut oleh ulama Salaf dan Khalaf.

MAIS menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah mengajar yang melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Dalam hal ini, jika kesalahan itu dilakukan oleh pemegang tauliah mengajar, tauliah mengajarnya juga boleh ditarik balik menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

MAIS juga menegaskan bahawa mana-mana orang yang berkelayakan boleh memohon tauliah mengajar bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di negeri Selangor namun, semua pihak hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan. – UTUSAN

TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD YUSOF
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN