Dr Fie bersyukur raih sokongan rakan-rakan selebriti

Dr. Fie bersyukur raih sokongan rakan-rakan selebriti

DR. AFIDAH HIDAYAH Ahmad Tawfek berharap dapat terus berkawan dengan Nubhan demi anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Bekas isteri kepada penyanyi popular, Nubhan Ahmad, iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, mengakui meraih semangat dan motivasi untuk meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal selepas mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan orang sekeliling.

Menurut Dr. Fie, kekuatan itu hadir bukan sahaja daripada keluarga, malah sokongan rakan-rakan selebriti yang sentiasa memberikan nasihat dan dorongan sepanjang proses tersebut.

“Alhamdulillah, ramai selebriti yang hubungi saya, antaranya Diana Danielle, Bella Astillah dan Adira Suhaimi. Mereka banyak berkongsi pengalaman serta memberi nasihat supaya saya kekal tenang.

“Sokongan begitu membuatkan saya rasa lebih kuat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, di sini semalam.

Mengulas perasaannya selepas talak kedua disabitkan, Dr. Fie berkata, dia kini memasuki fasa baharu sebagai seorang ibu yang perlu berdikari sepenuhnya dalam menguruskan masa depan anak-anak.

“Memang bukan mudah untuk bermula semula. Sebelum ini banyak perkara diuruskan bersama suami, tetapi kini saya perlu susun dan fikir semuanya sendiri.

“Namun saya anggap ini peluang untuk memperbaiki dan membina semula kehidupan,” ujarnya.

Dr. Fie yang masih bertugas di Klinik Lantara, Seremban, turut menjelaskan dia berusaha mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami demi kebajikan anak-anak.

“Kami masih boleh berkawan, itu yang saya harapkan. Demi anak-anak, kami tidak perlu bermasam muka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Fie tidak menolak untuk menerima tawaran sekiranya ada peluang untuk tampil dalam dunia seni.

Bagaimanapun, hal itu harus dipertimbangkan mengikut kesesuaian kerjayanya sebagai doktor gigi.

“Saya terbuka, tetapi semuanya bergantung kepada kesesuaian imej dan profesion saya,” katanya.

Sementara itu, mahkamah semalam mengesahkan lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah oleh Nubhan pada 26 Ogos lalu sebagai sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.

Keputusan itu disampaikan Hakim Umamuddin Yunus selepas meneliti semua keterangan berkaitan.

Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN