PETALING JAYA: Syarikat pinjaman wang tidak berlesen (ah long) masih menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdesak mencari jalan singkat mengatasi masalah kewangan berikutan peningkatan kes setiap tahun.
Sejak 2018 hingga Julai tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima purata 1,000 aduan setiap tahun membabitkan kes ah long daripada mangsa yang terjerat dengan penipuan itu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 5,796 kes disiasat PDRM membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM48.5 juta dalam tempoh sama.
Kata beliau, kes tertinggi dilaporkan pada 2019 dengan 1,229 kes dengan jumlah pinjaman RM18.3 juta diikuti 2020 (1,083 kes, kerugian RM5.7 juta) selain 2022 (1,009 kes, kerugian RM6.9 juta).
“Sebanyak 1,000 kes dilaporkan pada 2000 dengan nilai pinjaman RM5.7 juta selain pada 2018 dengan 798 kes dengan pinjaman RM10.45 juta.
“Sejak Januari sehingga Julai lalu, sebanyak 677 kes dicatatakan dengan kerugian RM3.1 juta,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Ramli berkata, sindiket ah long menggunakan laman sosial seperti telefon pintar untuk mencari mangsa.
Kata beliau, sindiket ini dengan berani membangunkan aplikasi telefon pintar bagi memudahkan urusan pinjaman dengan mereka.
“Peminjam yang berminat akan diberikan pautan (link) yang mengandungi perisian APK (Android Package kit) yang membolehkan perisian pinjaman tersebut dimuat naik ke dalam telefon pintar peminjam,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Ramli lagi, pelbagai tindakan diambil oleh PDRM bagi mengatasi kegiatan ah long ini yang mengancam keselamatan awam.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 5,980 tangkapan dibuat oleh pihak kita (polis) yang mana 1,908 daripada mereka dituduh,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ramli turut mengingatkan kepada masyarakat agar sentiasa berwaspada dan jangan terpedaya dengan tawaran iklan-iklan pinjaman wang yang akhirnya akan menyebabkan mereka diugut atau diancam.
Jelas beliau, setiap pinjaman yang dibuat perlu melalui syarikat pinjaman wang berlesen atau melalui institusi kewangan yang diiktiraf bank negara.
“Buat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya. – UTUSAN










