Usahawan Pulau Pinang raih jualan RM2 juta dalam masa 4 hari di Singapura - Utusan Malaysia

Usahawan Pulau Pinang raih jualan RM2 juta dalam masa 4 hari di Singapura

KOPI-O berjenama Hang Tuah antara produk di bawah jenama Sri Pinang yang mendapat sambutan baik dalam Malaysia Fest di Singapura, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seramai 17 Usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merekodkan jualan sebanyak RM2 juta sepanjang empat hari menyertai program Malaysia Fest di Singapura yang berakhir Ahad lalu.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, selain FAMA, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) turut terlibat dalam menjayakan program jualan itu tahun ini yang berlangsung di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre, Changi.

“Pavilion Negeri Pulau Pinang kali ini membawa sebanyak 72 SKU (unit simpanan stok) untuk produk-produk di bawah jenama Sri Pinang yang mencatatkan nilai jualan tunai kira-kira RM820,000.

“(Jualan) selebihnya (pula dibuat) melalui tempahan awal yang diterima oleh usahawan melalui ejen-ejen mereka di Singapura,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Program tersebut turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila dihadiri kira-kira 150,000 pengunjung dan delegasi MPBPP diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Norhisham Ramli.

Dalam pada itu, kata Aminuddin, antara produk usahawan di bawah jenama Sri Pinang yang mendapat perhatian dan permintaan tinggi dari warga Singapura adalah Kopi Hang Tuah; Jeruk Madu Pak Ali; Produk Hasil Laut dan pes masakan.

NORHISHAM Ramli (kiri) bersama penasihat produk jenama Sri Pinang, Datuk Dr. Muhammad Farid Saad ketika berada di Malaysia Fest di Singapura, baru-baru ini.

“Turut berlangsung pada sesi yang sama ialah upacara menandatangani tujuh perjanjian persefahaman melalui program ‘business matching’ (padanan perniagaan) bersama-sama rakan niaga usahawan masing-masing.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan pasaran produk mereka ke luar negara bagi mengukuhkan jaringan pemasaran,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut berharap lebih ramai usahawan di Pulau Pinang khususnya akan berjaya menembusi pasaran Singapura pada masa akan datang.

Difahamkan, secara keseluruhannya, seramai 124 usahawan dari seluruh Malaysia menyertai program berkenaan. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.