Terengganu guna logo, tema Hari Kebangsaan ikut kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Terengganu guna logo, tema Hari Kebangsaan ikut kerajaan Pusat

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu tetap akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua persiapan yang telah dibuat untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Terengganu sebelum ini akan diteruskan seperti biasa.

“Ya, sama (penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan mengikut kerajaan Pusat),” jawabnya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ serta logo Malaysia Madani.

Jawapan itu sekaligus menamatkan spekulasi kononnya empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah gabungan itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Bagaimanapun, setelah menerima pelbagai kritikan dari banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan memaklumkan perkara tersebut hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memuji keputusan Terengganu untuk tetap menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti ditetapkan oleh kerajaan Pusat..

Menurutnya, Hari Kebangsaan hendaklah disambut oleh semua pihak tidak kira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi negara Malaysia yang disayangi.

“Kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah tepat pada masanya. Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut Hari Kebangsaan bersama.

“Tanggungjawab ahli politik serta wakil rakyat yang ikhlas ialah untuk membantu rakyat dengan meringankan beban harian mereka dan bukan menambahkan kemelut serta bebanan dalam hidup mereka dengan berpolitik tidak berkesudahan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya