WASHINGTON: Nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya diturunkan dari bahagian hadapan bangunan Pusat Kennedy di Washington DC, selepas menerima perintah daripada pihak mahkamah.
Menurut dokumen yang difailkan di mahkamah, pengurusan pusat seni persembahan itu mengesahkan pihaknya telah mematuhi sepenuhnya keputusan berkenaan.
Susulan itu, nama Trump tidak lagi tertera pada bangunan, laman web mahupun sebarang bahan rasmi institusi tersebut.
Bulan lalu, seorang hakim persekutuan mendapati nama presiden berkenaan telah diletakkan pada premis tersebut secara tidak sah dan kemudian mengarahkan ia diturunkan selewat-lewatnya pada Jumaat.
Pada Jumaat lalu, sekumpulan pekerja mula memasang perancah besi di luar bangunan dan diperhatikan orang ramai. Bagaimanapun, faktor cuaca buruk termasuk ribut petir menyebabkan kerja-kerja tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga awal pagi Sabtu.
Usaha saat-saat akhir oleh pentadbiran Trump untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu turut ditolak oleh hakim.
Kes ini berpunca daripada pertikaian undang-undang yang lebih luas mengenai penukaran nama institusi kebudayaan tersebut.
Mengikut undang-undang AS, pusat seni berkenaan telah diwartakan secara rasmi bagi memperingati bekas Presiden John F. Kennedy.
Dalam pada itu, sebuah kumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Hands Off the Arts’ yang memperjuangkan kebebasan seni daripada kawalan kerajaan telah mengadakan perhimpunan aman di luar Pusat Kennedy pada Jumaat.
Para peserta perhimpunan memberikan sorakan semangat kepada pekerja-pekerja yang sedang memasang perancah besi pada papan tanda bangunan.
Suasana bertukar gamat dengan sorakan kegembiraan sebaik sahaja seorang penganjur mengumumkan bahawa mahkamah rayuan telah menolak percubaan kedua pentadbiran Trump untuk menyekat perintah hakim tersebut.
Menjelang awal pagi Sabtu, pekerja-pekerja mula menggantung kepingan plastik panjang bagi menutup struktur berkenaan sekali gus melindungi proses penurunan huruf-huruf nama Trump daripada pandangan umum.
Setakat petang Sabtu, kanvas plastik tersebut dilaporkan masih menutup papan tanda Pusat Kennedy.
Terdahulu pada akhir Mei lalu, Hakim Mahkamah Daerah AS, Christopher Cooper memutuskan bahawa pusat seni yang terletak di tengah-tengah Washington DC itu tidak boleh dinamakan semula tanpa mendapat kelulusan daripada Kongres.
Beliau turut menyekat rancangan penutupan sementara pusat tersebut bagi cadangan kerja-kerja pengubahsuaian akan datang. – BBC










