PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun individu dan syarikat bernilai RM40 juta susulan penahanan 13 individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri berhubung siasatan pemberian rasuah oleh syarikat perjudian kepada beberapa orang kenamaan.
SPRM kini sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada di luar negara sejak seminggu lalu bagi membantu siasatan sama.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, nama individu terlibat mungkin didedahkan SPRM jika mereka masih enggan tampil membantu siasatan.
Tindakan itu memandangkan individu tersebut memberi pelbagai alasan remeh untuk melengahkan siasatan.
“Individu berkenaan dipercayai telah berada di negara jiran dan sebuah negara Eropah sejak seminggu lalu.
“Jika mereka masih tidak mahu pulang, tidak mustahil SPRM meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk kesan mereka,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, sumber berkata, terbaharu seorang lagi individu berusia 68 tahun ditahan SPRM tengah hari semalam.
“Suspek yang merupakan pengendali syarikat operator judi di sebuah kilang di Pulau Pinang direman selama tiga hari dan menjadikan seramai 14 individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri diberkas SPRM,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kepada Utusan Malaysia namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Mingguan Malaysia semalam mendedahkan beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin politik dikesan SPRM telah menerima dana daripada beberapa syarikat perjudian untuk digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PRU14 dan pada pilihan raya negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.
Dana bernilai RM6 sehingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik berkenaan selepas syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.
Perkara tersebut terbongkar selepas 13 individu termasuk seorang Tan Sri ditahan SPRM menerusi operasi khas, Rabu lalu.
Kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 79 tahun dan mereka membabitkan pemilik syarikat pembekal mesin slot judi.
Siasatan SPRM mendapati, selain dana bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP dan pemimpin politik berkenaan seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.
SPRM juga tidak menolak kemungkinan terdapat bayaran tertentu turut dibuat syarikat-syarikat tersebut kepada pihak berkuasa di negara ini secara bulanan agar operasi judi yang dijalankan lancar dan tidak diganggu.
Untuk rekod, kerajaan melalui sebuah kementerian sebelum ini telah meluluskan 159 lesen perjudian kepada syarikat-syarikat tersebut.
Lesen perjudian tersebut dikeluarkan sejak 1990 dan dikawal mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Akta Loteri 1952 namun selepas itu, tiada lesen baharu judi dikeluarkan.
Sejak tahun 2003, kuota mesin slot setiap lesen adalah 15 unit bagi setiap premis di Semenanjung dan 10 unit mesin di Sabah.
Setiap unit mesin slot perlu didaftarkan dan bagi yang mendapat kelulusan akan dikenakan bayaran duti sebanyak 35 peratus bagi hasil setiap mesin judi kepada kerajaan. – UTUSAN










