KUALA TERENGGANU: Menyedari stigma negatif perbincangan masalah kesihatan lelaki, seorang doktor menggunakan platform media sosial bagi mendekati golongan pesakit itu.
Dengan seramai 1.5 juta pengikut di TikTok, inisiatif Ahmad Samhan Awang, 37, telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan lelaki.
Dia yang dikenali sebagai Dr. Samhan berkata, beliau telah mewujudkan pusat rawatan dan konsultasi kesihatan dikenali Him Clinic secara dalam talian khusus golongan lelaki.
Katanya, sambutan diterima cukup baik termasuk pesakit dari Singapura bagi mendapatkan rawatan dalam talian.
“Melalui perkhidmatan dalam talian, identiti pesakit tidak didedahkan dan selepas beroperasi secara aktif, semakin ramai yang membuka mata tentang penjagaan kesihatan lelaki,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad Samhan berkata, Him Clinic menawarkan penyelesaian bertauliah dan berkesan kepada masalah dialami lelaki selain memelihara institusi kekeluargaan daripada terganggu.
Selain itu, katanya, dia turut menghasilkan kandungan serta bersiaran langsung di TikTok bagi memberi penerangan secara jelas kepada masyarakat dalam isu kesihatan.
“Walaupun operasi Him Clinic dianggap satu kejayaan, saya tetap merancang membuka klinik secara fizikal bagi memberi rawatan yang lebih meluas melibatkan kesihatan lelaki,” katanya. – UTUSAN











