JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengepam keluar limpahan air kumbahan yang menghantui kira-kira 2,500 penghuni Pangsapuri Desa Melayu, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerja-kerja itu yang dijalankan pemaju perumahan tersebut dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan disegerakan, iaitu dalam minggu ini.
“Dakwaan penduduk bahawa air kumbahan sudah melimpah dan menjejaskan kehidupan seharian mereka adalah berasas. Setelah meninjau sendiri keadaan di sini, saya dapati ia memang tidak boleh dibiarkan lebih lama.
“Saya sudah berhubung dengan Pengarah JKR negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh untuk menyegerakan kerja-kerja mengepam keluar najis tersebut.
“Dalam masa sama, kita akan laksanakan segera kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan loji rawatan kumbahan yang rosak di kawasan ini. Tarikh lebih awal berbanding yang dirancang pada tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas meninjau masalah dihadapi penduduk di pangsapuri berkenaan, di sini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seramai 2,500 penduduk terpaksa ‘menutup hidung’ akibat bau busuk selama enam tahun selepas berlaku limpahan air kumbahan di kediaman itu ekoran kerosakan loji rawatan kumbahan yang terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Jafni berkata, kerja menyedut keluar air kumbahan berkenaan akan dibuat secara berkala, iaitu anggaran tiga bulan sekali bertujuan menyelesaikan masalah tersebut secara sepenuhnya.
“Sementara kerja-kerja membaik pulih kerosakan loji rawatan kumbahan yang dijangka selesai tahun depan dibuat, kita akan sedut keluar najis di kawasan ini secara berkala,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta untuk melakukan kerja membaik pulih kawasan berkenaan. – UTUSAN










