Program Gemilang Google lahirkan 3,500 graduan berkelayakan

Program Gemilang Google lahirkan 3,500 graduan berkelayakan

Muhammad Zul Aiman Zulkifli dan Khairunnisa Razali antara dua graduan program Gemilang iaitu latihan kemahiran digital anjuran Google Malaysia. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Latihan kemahiran digital Google di negara ini di bawah program Gemilang menyaksikan enjin carian tersebut berjaya melahirkan lebih 3,500 graduan dengan lebih 80 peratus daripadanya meraih penempatan pekerjaan.

Menurut Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam, Google Malaysia, Joanne Bala, sijil-sijil di bawah program Gemilang dirangka berdasarkan kemahiran asas daripada program Sijil Analisis Data Google dan direka untuk membantu orang ramai meningkatkan kemahiran teknikal mereka dengan alatan seperti BigQuery, Python dan SQL.

“Google komited membantu Malaysia membina saluran bakat yang mampan dan kami melihat hasil yang menggalakkan daripada program Gemilang yang dilaksanakan setahun lalu dengan kerjasama rakan kongsi sektor awam dan swasta.

“Terdapat lebih 3,500 graduan Gemilang di Malaysia dan lebih 80 peratus daripada mereka melaporkan hasil kerjaya yang positif seperti pekerjaan baharu, kenaikan pangkat atau kenaikan gaji dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan program ini.

“Pada masa yang sama, kami juga mengumumkan sijil lanjutan baharu dalam perisikan perniagaan dan analisis data lanjutan yang akan membantu orang ramai memperoleh kemahiran teknikal yang mereka perlukan untuk berkembang dalam kerjaya mereka,” katanya kepada pemberita dalam wawancara di sini semalam.

Sementara itu, graduan program Gemilang dalam jurusan Analisis Data, Muhammad Zul Aiman Zulkifli, 28, berkata, perkembangan teknologi yang semakin pesat kini juga menjadi punca inisiatif untuk menambah ilmu menerusi program itu dibuat.

“Sebagaimana yang kita tahu, teknologi terus berkembang dan adalah penting untuk memastikan kemahiran saya juga seiring dengan permintaan dan trend teknologi semasa.

“Sewaktu saya memulakan kerjaya sebagai seorang Penganalisis Data, tanggungjawab utama saya tertumpu pada kerja-kerja pentadbiran data dan kemasukan data.

“Setelah menamatkan kursus Analisis Data Google, saya dapat melanjutkan kerjaya saya dalam organisasi yang menumpukan pengurusan data di mana saya kini menyediakan penyelesaian berasaskan data terus kepada pelanggan.

“Selain peluang yang hadir, kursus ini turut membolehkan saya meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah serta membantu menyemai tabiat pembelajaran kendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan program yang sama, Khairunnisa Razali, 35, berkata, beliau mengambil masa selama dua bulan untuk menamatkan pengajian dalam bidang Analisis Data secara atas talian biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam subjek tersebut sebelum ini.

Bagaimanapun, cabaran itu disahut oleh Khairunnisa kerana telah memasang matlamat untuk meningkatkan kemahiran selain memahami kepentingan analisis data yang kini berkembang pesat seiring teknologi.

“Saya merupakan seorang graduan dalam bidang bioperubatan dan bekerja dalam bidang itu beberapa tahun lalu. Tetapi saya menyedari kepentingan bidang analisis data kerana ia secara tidak langsung berkait dan membantu bidang yang saya usahakan sekarang.

“Apalagi dengan perkembangan era digital dan teknologi yang memerlukan juga pengumpulan data-data. Jadi saya ambil peluang untuk sertai program bagi meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran,” katanya.

Tambah Khairunnisa, program Gemilang juga dilihat dapat membantu mereka yang memerlukan terutamanya kaum wanita yang ingin memulakan kerjaya dalam bidang teknologi.

“Untuk kekal relevan dalam dunia digital ini, saya tahu bahawa saya perlu meningkatkan kemahiran diri dengan pengetahuan di luar bidang pengkhususan saya iaitu bioperubatan.

“Melalui Sijil Kerjaya Google, saya dapat melengkapkan pendaftaran saya bagi bidang Sarjana Analisis Perniagaan dengan asas yang dipelajari melalui kursus Analisis Data Google.

“Hasilnya, saya dapat membuat peralihan kerjaya daripada industri farmaseutikal kepada pengendalian analisis data dalam industri penerbangan. Saya percaya Gemilang adalah pemboleh ubah untuk lebih ramai wanita beralih kerjaya mereka ke dalam ekonomi digital,” katanya.

Dalam pada itu, Google juga mengumumkan dua Sijil Kerjaya Google yang baharu iaitu Perisikan Perniagaan dan Analisis Data Lanjutan sebagai tambahan kepada program Gemilang.

Sijil Perisikan Perniagaan Google akan menyediakan rakyat Malaysia untuk pekerjaan seperti penganalisis risikan perniagaan dan jurutera risikan perniagaan dalam masa kurang dari dua bulan manakala Sijil Analisis Data Lanjutan Google membuka peluang rakyat pekerjaan seperti penganalisis data kanan dan saintis data muda dalam tempoh kurang dari enam bulan.

Program Gemilang juga menawarkan biasiswa Sijil Kerjaya Google untuk golongan belia, kaum wanita dan komuniti yang terabai dan disalurkan melalui rakan kongsi tempatan seperti Girls in Tech, Malaysia Board of Technologies, Malaysian Digital Association, Mereka Academy, SEGi University & Colleges, Trainocate, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Tunku Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN