BATU KAWAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai parti itu dengan gabungan Barisan Nasional (BN) ketika ini menerima sokongan yang jauh sangat besar berbanding pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Sabtu ini.
Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, pengundi kini juga semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan gabungan PH-BN yang jelas bertentangan dengan segala tuduhan dan tohmahan negatif yang dilontarkan pembangkang selama ini.
“Sebab dulu dia (pengundi) dengar semua yang negatif, Anwar akan tarik balik hak orang Islam, pelajar sekolah kena pakai skirt.
“Dia (pembangkang) fitnah sudah jadi budaya, jadi orang percaya.
“(Tetapi) sebahagiannya sudah tengok tak jadi (dakwaan dan tohmahan), (pelajar-pelajar) tak pakai skirt pun.
“Jadi itu mengubah (sokongan rakyat), ada orang yang dulu walaupun dia sokong, kita tapi dia percaya dengan tohmahan (seperti) kita akan jadi alat DAP menetang Islam, sekarang terbukti tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai masyarakat setempat makan tengah hari di Sungai Bakap dekat sini yang turut disertai calon gabungan PH-BN daripada PKR bagi kerusi DUN Sungai Bakap, Norhidayah Che Rose.
Anwar ditanya berkenaan jangkaan banyak pihak berhubung keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu ini yang mana sebahagian besar meramalkan status quo iaitu gabungan PH-BN dan PN akan mengekalkan penguasaan di negeri-negeri yang ditadbir ketika ini.
Sementara itu, ditanya berkenaan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mana Kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam PRN, Anwar sekadar berkata: “Seperti (Abdul) Hadi kata dulu tiga bulan dia beri kepada saya (selepas Pilihan Raya Umum Ke-15), tetapi sekarang sudah sembilan bulan (Anwar masih menjadi Perdana Menteri).”
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dalam ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan berkata, kemenangan PN sangat penting untuk menukar kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN tidak menjelaskan dengan lebih lanjut bagaimana pertukaran itu boleh berlaku. – UTUSAN










