MB Perlis jawab Rafizi, peruntukan negeri memang termaktub dalam Perlembagaan - Utusan Malaysia

MB Perlis jawab Rafizi, peruntukan negeri memang termaktub dalam Perlembagaan

MOHD. Shukri Ramli menyaksikan persembahan alu bunyi di Kampung Nesam, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak seharusnya membuat penilaian berdasarkan persepsi semata-mata apabila mengaitkan Perlis antara negeri menerima peruntukan besar namun tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, peruntukan kerajaan Persekutuan buat kerajaan negeri adalah merupakan satu perkara yang normal malah ia juga termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak mahu melaksanakan tindakan tertentu sehingga membebankan rakyat hanya semata-mata bagi meraih pendapatan mencukupi.

“70 tahun Perlis diperintah oleh pihak lain (Barisan Nasional) dan itulah hakikat yang ada di negeri ini.

“Saya rasa perkara sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada seorang menteri kerana dari dulu lagi Perlis memerlukan kebergantungan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan persembahan alu bunyi di Kampung Nesam di sini, hari ini.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata, kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama bagi negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Katanya, ketika ini terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Namun, beliau berkata, sebahagian negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri sememangnya berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan Persekutuan antaranya dengan memudah cara bagi kemasukan pelabur-pelabur ke negeri ini.

“Bagilah masa untuk kerajaan negeri jana ekonomi sendiri dalam mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan.

“Apa pun, kalau ekonomi Perlis mantap sekali pun, sumbangan peruntukan kerajaan Persekutuan itu tetap kena ada sebab ia termaktub dalam Perlembagaan dan dia (Rafizi) kena terima hakikat itu,” katanya.

Tambah Mohd. Shukri, selain bidang pertanian, aspek pelancongan juga berpotensi dalam memberi lebih hasil buat kerajaan negeri.

“Dan kita sememangnya sedang bergerak ke arah itu (bagi mengembangkan bidang pelancongan negeri),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya