JERANTUT: Pengalaman pesara guru, Mahayudin Idris, 78, menjalani kehidupan semasa ancaman komunis dan perintah berkurung di kawasan Damak dan Batu Balai di sini pada awal 1970-an masih dalam ingatan warga emas berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mahayudin yang menetap di Kampung Damak berkata, dua peristiwa ancaman pengganas komunis di pekan Damak dan Batu Balai sentiasa dalam ingatannya sehingga kini dan kerap diceritakan kepada pelajarnya termasuk anak serta cucu setiap kali menjelang hari kemerdekaan, 31 Ogos.
Katanya, pengganas komunis yang merupakan serpihan gerila menentang penjajah Jepun dan British sebelum merdeka meneruskan aktiviti gerila di hutan dan pekan kecil dengan mengangkat senjata selepas negara merdeka untuk menentang kerajaan sehingga ramai anggota pasukan keselamatan terkorban.
Katanya, lanjutan senario keganasan secara gerila yang bermula pada awal 60-an berlanjutan selepas 70-an menyebabkan wujud penguatkuasaan perintah berkurung antara pukul 6 petang hingga 6 pagi setiap hari di beberapa tempat di negeri ini termasuk Damak dan Batu Balai.
Mahayudin berkata, ekoran penguatkuasaan perintah berkurung bermula pada 1975 hingga pertengahan 1980-an, aktiviti penduduk pada waktu siang di dua kawasan itu dihadkan.
Malah katanya, pihak tentera akan memeriksa dokumen sesiapa sahaja yang melalui di sekatan jalan raya termasuk barang yang dibawa.
“Pernah satu ketika, saya lupa tarikhnya, kami pernah tidak dibenarkan keluar rumah dalam tempoh 24 jam kerana pasukan tentera memburu pengganas berdekatan kampung berikutan kejadian tembak-menembak serta disyaki lokasi terdapat pengganas tersebut.
“Segala urusan berkaitan hal kecemasan seperti membawa penduduk yang sakit ke klinik di pekan Damak dan Hospital Jerantut dan sebagainya pada waktu malam perlu mendapat kebenaran polis,” katanya di Kampung Damak, di sini semalam.
Cerita Mahayudin, peristiwa pengganas menembak dan mencederakan seorang anggota ketika bertugas di sekatan jalan raya dekat pekan Damak pada September 1978, kira-kira pukul 6 pagi masih segar dalam ingatannya.
“Seingat saya, anggota tentera yang cedera ditembak pengganas komunis pada waktu itu bernama Wan Norasmara bersama rakannya yang sedang bertugas di Pos Kawalan Sekatan Jalan Raya di pekan Damak dan setelah 45 tahun berlalu tempat kejadian berkenaan kini sudah dibangunkan premis kedai,” katanya.
Katanya, ketika kejadian dia berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangsang, Lipis kira-kira 30 kilometer dengan pekan Damak mendapat tahu daripada orang ramai malah turut disiarkan di Utusan Malaysia pada 27 September 1978.
Menurutnya, sebelum kejadian tembakan yang mencederakan anggota tentera di pekan Damak, pernah berlaku ancaman sama melibatkan seorang anggota pasukan keselamatan yang ditembak mati berdekatan Batu Balai.
Bagaimanapun beliau lupa tarikh kejadian itu.
Mahayudin yang mula berkhidmat pada 1965 sebagai guru penolong dan dinaikkan pangkat Guru Besar di 15 buah sekolah di Jerantut, Bandar Jengka dan Lipis bersara sebagai Guru Besar di SK Batu Balai menyimpan perasaan takut dan bimbang ketika bertugas semasa penguatkuasaan perintah berkurung.
“Ketika bertugas di SK Jerangsang, Lipis pada 1969 hingga 1977, perasaan mula cuak ketika berkenderaan melalui Jalan Benta ke Batu Balai dan Damak sebelum tiba di rumah bercuti hujung kerana di kiri kanan laluan kebanyakan masih hutan tebal yang dipercayai tempat persembunyian pengganas,” katanya.
Tambahnya, hasil penguatkuasaan perintah berkurung dan kawalan serta pemantauan ketat daripada pasukan tentera dan Unit Kawalan Kawasan (UKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kegiatan pengganas mulai lumpuh selepas tahun 1980-an di dua kawasan tersebut.
Katanya, dia berterima kasih kepada pasukan tentera dan PDRM yang bertugas menjaga keamanan serta keselamatan sehingga dua kawasan ini kembali pulih dan penduduk sehingga kini cukup selesa mencari rezeki siang dan malam. – UTUSAN











