KKM tidak wajibkan kanak-kanak ambil vaksin Covid-19

KKM tidak wajibkan kanak-kanak ambil vaksin Covid-19

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan belum berhasrat mewajibkan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun, meskipun menyedari peratusan vaksinasi bagi golongan itu masih rendah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pemberian vaksin Covid-19 masih dijalankan secara sukarela, bagaimanapun kerajaan sangat menggalakkan golongan itu mendapatkan vaksin berkenaan.

“Pemberian vaksin Covid-19 sangat digalakkan termasuk kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun. Jika mereka sudah mencapai usia lima tahun dan masih tidak mengambil vaksin, maka mereka boleh diberi vaksin Covid-19.

“Suka saya maklumkan bahawa kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Rt diukur untuk semua lapisan umur di Malaysia secara keseluruhan dan tidak mengira umur. Maka, nilai Rt sukar dikira memandangkan data kes adalah sangat minimum,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, sebanyak 3,119 kes positif Covid-19 bagi yang berumur lima hingga bawah 12 tahun telah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan sejak 1 Januari 2023 hingga 12 Ogos lalu.

Ditanya berkenaan kadar vaksinasi bagi golongan kanak-kanak bagi semua kategori dos yang masih rendah, beliau berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang bermula 3 Februari 2022 menyaksikan jangkitan wabak ketika itu menurun dan berlaku gelombang varian baharu dinamakan Omicron.

“Dalam tempoh tersebut, kanak-kanak yang dijangkiti mempunyai gejala ringan. Ini menimbulkan persepsi bahawa ibu bapa tidak perlu memberi imunisasi kepada kanak-kanak. Mereka yang dijangkiti sembuh dengan sendiri.

“Ibu bapa juga bimbang dengan kesan sampingan akibat vaksin setelah diuar-uarkan dalam media sosial. Pun begitu, kementerian menggalakkan pengambilannya sebagai langkah pencegahan daripada mendapat jangkitan dengan gejala yang teruk,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, kementerian terus meningkatkan kadar vaksinasi dengan syor terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) iaitu kanak- kanak yang mempunyai moderate to severe immunicompromise untuk mengambil dos penggalak pertama.

Jelasnya, ini kerana mereka berisiko mendapat jangkitan teruk Covid-19.

“Pemberian dos penggalak kepada kanak-kanak yang mempunyai moderate to severe immunicompromise sedang dirancang untuk diberi rawatan oleh hospital yang menjalani rawatan kanak-kanak berkenaan.

“Selain kategori ini, kanak-kanak yang belum menerima vaksin masih disyor dan digalak untuk mengambil dos primer yang lengkap. Untuk itu, kementerian akan terus membuat hebahan melalui media sosial, media arus perdana dan hebahan kawasan setempat berkenaan perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×