Kerajaan tidak pernah abai M40

Kerajaan tidak pernah abai M40

ANWAR Ibrahim melawat reruai dalam Majlis Jalinan Kerjasama iTEKaD di Sasana Kijang, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kumpulan yang berpendapatan sederhana atau M40, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Men­teri, beliau sedar ada beberapa pihak yang menegur perkara itu susulan pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan B40.

“Beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul.

“Sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil… tidak sampai satu atau dua peratus.

“Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) baru-baru ini menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidak pun mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKaD di Sasana Kijang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Dalam majlis itu, Anwar mengumumkan dana tambahan sebanyak RM6 juta diperuntukkan kepada program iTEKaD tahun ini sebagai usaha untuk terus memperkasa usahawan mikro berpendapatan rendah.

Tambahan itu merupakan penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, geran itu merupakan penambahan daripada RM4 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

Beliau berkata, iTEKaD boleh dikembangkan selepas mencatatkan kos pengurusan yang lebih rendah selain tidak membebankan kewangan kerajaan.

“Diharap (penglibatan peserta) meningkat 4,000 berdasarkan peruntukan RM4 juta Kementerian Kewangan.

“Kalau sudah berjaya dengan RM4 juta, tidak perlu saya tambah lagi. Saya pasti dengan keputusan kejayaan, dengan andaian 20 bank, andaian ada lagi dana tambahan daripada Bank Negara, maka saya boleh tambah daripada RM4 juta jadi RM10 juta pada tahun ini,” katanya.

Mengulas tentang sistem meritokrasi dalam pendidikan, Anwar berkata,  biarpun meritokrasi itu penting tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan dan tata kelola negara yang adil.

“Kalau mahu bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.

“Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera)…Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, minat para pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia pada masa kini jauh lebih baik berbanding satu atau dua tahun yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi itu merupakan perkembangan positif dalam melonjakkan ekonomi negara.

“Saya optimis bahawa dengan minat pelabur-pelabur antarabangsa berkembang sekarang jauh lebih baik daripada catatan satu (atau) dua tahun yang lalu.

“Itu satu sangat positif bagi kita kerana ia akan membantu melonjakkan ekonomi tetapi lonjakkan ekonomi itu harus beralih daripada pendekatan lama,” katanya

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menggesa kepimpinan kementerian, bank serta golongan elit mendekati golongan bawahan yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara berkenaan.

“Kadang-kadang saya runsing juga, kita sudah merdeka sekian lama dan matang tetapi kadang-kadang wacana kita itu ada dua dan ada pemisahan dalam kalangan atasan dan di bawah.

“Oleh kerana dia (golongan bawahan) tersisih dan terabai maka dia akan lari kepada isu kaum dan agama yang sempit kerana kita (golongan atasan) tidak menyantuni mereka,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN