Jamil Salleh diterima baik pengundi muda, Melayu di Dengkil

Jamil Salleh diterima baik pengundi muda, Melayu di Dengkil

JAMIL Salleh bergambar bersama ahli keluarganya ketika diumumkan memenangi kerusi Dengkil di Dewan Semarak Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sokongan padu pengundi muda dan mendapat undi mencukupi di kawasan majoriti Melayu menjadi faktor utama kemenangan Datuk Seri Jamil Salleh di DUN N55 Dengkil.

Malah, sentimen ‘calon pelancong’ yang dihadapinya sejak awal kempen juga berjaya ditepis dengan baik hasil sokongan padu struktur gerak kerja kempen Perikatan Nasional (PN) di Dengkil.

Jamil berkata, walaupun bukan anak tempatan, namun beliau dilayan sama seperti calon anak tempatan oleh pasukan kempen Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dengkil.

“Saya akui struktur pentadbiran kerja Pas dan Bersatu di sini berfungsi sangat baik, malah mereka memberi sokongan padu kepada saya sejak awal kempen.

“Tiada isu sabotaj calon berlaku walaupun saya bukan anak tempatan Dengkil sebaliknya saya diterima dan dilayan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Dewan Semarak, di sini selepas diumumkan menang di DUN Dengkil malam tadi.

Katanya, beliau mendapat undi mencukupi pengundi Melayu di Bukit Changgang, Desa Pinggiran Putra, Desa Putra, Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Olak Lempit dan Labohan Dagang.

Jamil berkata, beliau juga akui bakal berdepan tugas berat selepas ini bagi memenuhi harapan penduduk di Dengkil membabitkan pelbagai isu terutamanya masalah banjir.

Menurutnya, beliau akan berusaha mengatasi isu berkenaan, malah akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kehendak rakyat Dengkil dipenuhi.

“Saya lihat undi yang diperolehi PN dan Barisan Nasional (BN) hampir sama, justeru adalah tidak adil kerajaan negeri dan Persekutuan tidak bantu penduduk di sini,” katanya.

Katanya, ia satu kemenangan besar buat PN walaupun dengan majoriti tipis 407 undi, namun tidak mudah kerana menerima saingan sengit daripada calon BN, Noorazli Said.

Jamil yang juga bekas Ketua Setiausaha di dua buah kementerian itu memperoleh 33,561 undi meninggalkan pencabar terdekatnya Noorazli daripada BN dengan 33,154 undi.

Dengan kemenangan itu, DUN Dengkil kekal milik PN menerusi wakilnya sebelum ini di bawah Bersatu, Adhif Syan Abdullah.

Jumlah pemilih bagi DUN Dengkil bagi PRN kali ini adalah 69,165 orang membabitkan 74.24 peratus keluar mengundi dengan 436 kertas undi ditolak selain 130 kerts undi tidak dikembalikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya