Industri teksi tenat, hanya 40,000 pemandu masih beroperasi

Industri teksi tenat, hanya 40,000 pemandu masih beroperasi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 40,000 pemandu teksi di seluruh negara berdepan dengan isu kekurangan sumber pendapatan sejak sektor ekonomi gig mula jadi pesaingnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd Husain berkata, keadaan itu dipercayai berlaku selepas pihak berkuasa didakwa gagal mengawal kerancakan sektor e-hailing dan p-hailing dalam negara.

“Bukan hanya di Terengganu atau Johor, masalah ini sudah melanda rata-rata pemandu teksi dalam negara dan kebanyakannya sudah tak boleh menampung kos operasi. Hal yang sama turut berlaku terhadap pemandu-pemandu teksi di Sabah dan Sarawak.

“Ini menjadi kekesalan kami apabila industri ini menjadi tempat untuk kerajaan khususnya kerajaan lepas melonggokkan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan dan menjadikannya sebagai satu lubuk untuk mereka menambah sumber pendapatan.

“Kesudahannya, pendapatan kami yang menjadikan pekerjaan utama atau sebagai kerja hakiki terjejas kerana kerajaan kongsikannya dengan golongan pekerja luar semata-mata hendak membolehkan mereka mencari sumber pendapatan sampingan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Tambah Kamaruddin, penyusutan ketara jumlah pemandu teksi daripada 120,000 hingga kini cuma sekitar 40,000 turut memberi gambaran buruk bahawa sektor ini sudah lama memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Kata beliau, GTSM bukan tidak bersetuju apabila kerajaan memberi ruang buat ekonomi gig bertumbuh, namun keadaan itu sepatutnya dikawal selia dengan baik supaya wujud kesamarataan dalam menjalankan operasi.

“Malangnya, keadaan ini sudah lama berlaku dan tidak ada sebarang tindakan drastik diambil oleh kerajaan. Kami dah alami situasi terjejas ini sejak 2014. Kalau lihat di Singapura misalnya, mereka pun menjalankan ekonomi gig tetapi dikawal dengan baik dan sama rata.

“Pemandu teksi di Singapura masih boleh meneruskan pekerjaan hakiki mereka walaupun ada persaingan e-hailing dan sebagainya. Namun, keadaan itu tidak berlaku di Malaysia.

“Tambahan pula, kami lihat, kerajaan gagal menghormati Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). Kalau pekerja luar boleh cari makan sampingan dengan membawa p-hailing dan e-hailing, bagaimana pula dengan nasib kami,” soalnya.

Dalam pada itu, GTSM merayu agar kebajikan golongan pemandu teksi dalam negara mendapat perhatian dan pembelaan daripada Perdana Menteri setelah sekian lama usaha mereka untuk menuntut keadilan tidak didengar pihak berwajib.

“Kami mendapat khabar, dalam masa terdekat ini, PM akan ada pertemuan dengan syarikat-syarikat p-hailing dan e-hailing. Maka, kami pun merayu supaya PM turut melihat dan meneliti semula kebajikan pemandu-pemandu teksi.

“Kami juga rakyat Malaysia, tolong jangan biarkan kami hidup dalam kesusahan. Kalau boleh, adakan juga pertemuan dengan kami dan dengar keluhan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN