PETALING JAYA: Penyanyi, Ibnor Riza, 62, memerlukan dana sebanyak RM17,000 bagi menampung kos kemoterapi di sebuah hospital swasta dekat sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia terpaksa menghentikan rawatan kemoterapi di hospital kerajaan atas nasihat doktor dan menerima rawatan lebih komprehensif.
Kongsinya, kos keseluruhan bagi dua proses kemoterapi di hospital swasta mencecah RM30,000.
Setakat ini, katanya, dia masih berusaha mengumpulkan dana termasuk menunggu jawapan daripada Pusat Zakat Selangor (PPZ).
“Kemoterapi di hospital kerajaan sudah diberhentikan sebab doktor kata gagal. Sekarang masih tunggu sebut harga dan anak saya pun sedang buat surat rayuan kepada pihak hospital swasta.
“Persatuan Karyawan, Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKVM) serta Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air di bawah Datuk DJ Dave ada menghulurkan sumbangan bagi perbelanjaan semasa rawatan di hospital kerajaan sebelum ini,” katanya.
Kehidupan penyanyi Meneka Dalam Kesamaran ini berubah 360 darjah selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat, awal Mac lalu.
Disebabkan itu, dia perlu menjaga pemakanan dan berat badannya juga turun daripada 126 kilogram (kg) kepada 92 kg.
Ibnor yang terputus sumber rezeki akibat tidak dapat menyanyi lagi berkata, dia masih berasa sakit akibat kanser yang dihidapinya.
“Sel kanser masih ada di bahagian leher, manakala di bahagian usus dan paru-paru sudah okey. Saya risau sebab kawasan leher ini paling bahaya.
“Kanser ini duduk dalam darah dan serang bahagian kelenjar, itu menyebabkan hari ini saya rasa sakit.
“Doktor (hospital kerajaan) bagi ubat untuk kecutkan bengkak kelenjar di bahagian leher. Itu juga punca menyebabkan saya selalu pengsan.
“Saya memang kawal makan, tak berani nak makan sembarangan, doktor nasihat makan sayur-sayuran,” katanya yang positif menjalani kehidupan.
Orang ramai yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Ibnor boleh menghubunginya di talian 019-5689922. – UTUSAN










