Hidup wanita hidap penyakit kulit kritikal berubah seratus peratus

Hidup wanita hidap penyakit kulit kritikal berubah seratus peratus

NOR Aziantie Azhar yang menghidap penyakit kulit kritikal terlantar sambil ditemani Muhammad Fatih Andika (berdiri, kanan) dan Liza Suriani Ab. Rahman (kiri) di rumah mereka di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Seorang wanita tidak menyangka hidupnya berubah seratus peratus selepas menghidap penyakit auto imun atau pemphigus vulgaris yang menyebabkan seluruh kulitnya melepuh, berkuping keras dan berdarah sejak Mac lalu.

Nor Aziantie Azhar, 31, dari Gong Badak dekat sini, berkata, pada mulanya dia mengalami ulser di bahagian mulut namun merebak ke bahagian kulit lain dalam masa yang cepat.

Dia yang juga balu kepada artis alih suara bagi filem animasi popular Kung Fu Panda, Allahyarham Muhammad Aizat Adnan berkata, selepas tiga bulan, keadaan kulitnya menjadi semakin kritikal.

“Saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 6 Mei lalu dan ditahan wad selama 76 hari termasuk 50 hari di unit rawatan rapi (ICU).

“Selepas keluar wad pada 20 Julai lalu, saya tidak mampu uruskan diri sendiri dan hanya terlantar. Ikut perancangan asal, saya hendak pulang ke rumah di Gombak tapi ibu saya tak benarkan kerana bimbang keadaan saya yang perlukan perhatian rapi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Badak dekat sini, semalam.

Nor Aziantie mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Fatih Andika, 6, hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Muhammad Aizat yang meninggal dunia akibat kanser esofagus pada 4 Februari 2021.

Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Saifulhisyam Safri, 34, yang bekerja sendiri sebagai juruteknik pendingin hawa dan kini dikurniakan seorang bayi perempuan, Nur Aisyah Sofiyyah berusia 6 bulan.

Ketika ini, dua anak Aziantie dijaga ibu dan bapanya serta dua adiknya yang tinggal serumah di sini.

Sementara itu, ibu Aziantie, Liza Suriani Ab. Rahman, 53, berkata, anak sulungnya itu terpaksa bergantung harap kepada sumbangan orang ramai untuk menampung kos penjagaan seperti peralatan mencuci luka, lampin pakai buang, tisu basah dan susu.

“Kos agak mahal contohnya pembalut kain kasa yang digunakan jenama Bactigras. Dia juga makan vitamin dan minum susu tepung Ensure Gold yang berharga RM90 bagi satu tin seberat 850 gram.

“Memang kami tak pernah putus asa cuba rawatan yang terbaik agar Aziantie boleh sihat semula secepat mungkin. Kasihan tengok anak dan dua cucu kalau penyakit ini berlarutan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi menampung kos rawatan boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Nor Aziantie, 512400515982 atau menghubungi Liza Suriani di talian 017-9162993 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×