SETIU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan dakwaan terdapat parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan Pusat sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu ini.
Beliau berkata, dakwaan tersebut bukan sekadar ‘cakap kosong’ sebaliknya perkara tersebut berlaku apabila Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hilang sokongan daripada rakan parti gabungan tersebut.
Malah, katanya, terdapat Ahli Parlimen UMNO turut memberi sokongan kepada PN termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan Pusat yang lebih stabil selepas ini.
Jelasnya, sebahagian Ahli Parlimen UMNO terbabit menyokong PN bagi membantu PN membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Asal 10 ahli Parlimen UMNO nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang UMNO ini dalam ketakutan.
“Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau. Kerajaan Perpaduan tapi balah sama sendiri. Yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri,” katanya pada program Ceramah Mega Setiu di Kampungf Bukit Kecil, Langkap di sini, malam tadi.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, pembentukan kerajaan Pusat baharu itu penting untuk selamatkan agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, kemenangan PN dalam PRN di enam negeri kali ini penting untuk melakukan perubahan tersebut.
“Ini bukan kerja main-main, bukan kerja jual beli, bayar duit. Tanggungjawab sangat besar,” ujarnya.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini.
Perdana Menteri itu sebaliknya berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir negara ini dengan lebih baik selepas ini. – UTUSAN










