Angkat marbat Malaysia jadikan negara hebat

Angkat martabat Malaysia jadikan negara hebat

ANWAR Ibrahim bersama penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru setiap rakyat termasuk pemimpin melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan amanah dalam mengangkat martabat negara dan bangsa merdeka.

Perdana Menteri berkata, kemerdekaan tidak akan bermakna sekiranya mereka gagal memberi makna sebenar dari segi jiwa dan pemikiran yang merdeka.

“Dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah suatu amanah dan segala kuasa yang ada di peringkat kecil sama ada di kampung iaitu penghulu, pejabat daerah sehingga Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya merdeka, yang tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperoleh habuan untuk golongan elit.

“Usaha memastikan jiwa merdeka itu harus saling berterusan, memaknai merdeka maknanya segala khazanah, kekuatan dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat dan mengangkat martabat negara ini,” katanya ketika berucap pada Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Katanya, beliau yakin kalau semangat itu ada dalam kalangan rakyat, Malaysia akan muncul sebagai negara yang hebat dan gagah di Asia Tenggara.

Anwar berkata, kesatuan yang dipupuk pada hari ini adalah bertujuan menjamin masa hadapan melalui dasar-dasar dan pelaksanaan, walaupun ada sebahagian kecil yang tidak menyenanginya.

Beliau menegaskan, Malaysia Madani di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahan dan menegakkan hak setiap rakyat di negara ini.

“Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depannya melalui dasar dan pelaksanaan sekarang, sebab itu saya kata dalam menyongsong ke depan, isu yang kadang-kadang sangat tidak disenangi sebahagian kecil kita, tentang pengurusan dan tata kelola, jangan gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan bagi diri dan keluarga atau kroni.

“Ini kerana masalah di negara kita bukan masalah perbezaan kaum, budaya atau agama. Allah jadikan perbezaan untuk kita kenal dan hormat di antara satu sama lain dan kita mesti terima kenyataan itu, tidak siapa mempertikai peruntukan-peruntukan mutlak dan kukuh dalam Perlembagaan negara iaitu soal bahasa Melayu, Islam agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan negara.

“Negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan akan terus tegak hebat dengan memperakui kontrak sosial di antara semua kaum dan hak semua warganegara, memuliakan budaya termasuk suku kaum mereka tetap akan dipertahankan. Insya-Allah Kerajaan Perpaduan dan negara madani akan mempertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini,” katanya.

Tambah Anwar, Malaysia boleh memaknai kemerdekaan apabila setiap anak muda mempunyai jaminan pekerjaan termasuk memperoleh kadar upah yang munasabah.

“Dalam beberapa bulan ini, Malaysia kembali mendapat perhatian, beberapa syarikat dan nama besar seperti Elon Musk dari Amerika Syarikat, Geely dari China atau Infineon dari Jerman, bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pelaburan penting.

“Sebab itu saya telah memberi jaminan, dalam keadaan kekangan ekonomi kita sekarang pun kita sedang merangka perubahan sistem upah dan pelaksanaan gaji kepada penjawat awam dan sektor swasta,” katanya.

Sementara itu kemuncak sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang bertema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan akan berlangsung di Dataran Putrajaya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN