96% orang muda mahu mengundi

96% orang muda mahu mengundi

Tinjauan dalam talian oleh Utusan Malaysia mendapati 96 peratus orang muda bawah 30 tahun mahu mengundi 12 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 96 peratus daripada 2.8 juta pengundi bawah usia 30 tahun mahu mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini tetapi berbelah-bahagi untuk memilih calon dan parti yang bertanding.

Keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada parti-parti politik yang bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  di Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang mendekati kumpulan pengundi berumur 18 hingga 29 tahun untuk meraih undi mereka.

Berdasarkan 1,000 responden yang memberi maklum balas terhadap tinjauan dalam talian yang dibuat akhbar ini, kumpulan pengundi tersebut menyatakan akan  memanfaatkan peluang mengundi dengan hadir ke pusat-pusat mengundi pada Sabtu depan bagi membuat pilihan memilih kerajaan negeri baharu.

Pola tersebut diperoleh menerusi tinjauan pengundi muda bagi PRN 2023 yang dilakukan Utusan Malaysia dalam tempoh 14 hari bermula 10 Julai lalu secara dalam talian yang menunjukkan keputusan seimbang dari segi kepuasan terhadap pentadbiran kerajaan negeri semasa dan keperluan kepada perubahan.

Menerusi tinjauan terhadap sebahagian daripada 9.77 juta pengundi keseluruhan itu, 50.8 peratus daripada pengundi dalam kumpulan berkenaan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran semasa kerajaan negeri dan 49.2 peratus pula mengakui sebaliknya.

Bagaimanapun, hanya 40.5 peratus berpendapat perlu pertukaran pentadbiran dan membuat perubahan, sementara 59.5 peratus pula menyatakan kerajaan semasa perlu dikekalkan dan menambah baik sama ada dasar, tata kelola yang baik ataupun manfaat kepada rakyat.

Hal tersebut juga disokong dengan pemerhatian mereka dalam tempoh 15 tahun sejak negara mengalami tsunami politik pada 2008, apabila 69.4 peratus mengakui menyaksikan perubahan dan pembangunan di kawasan mereka mengundi.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan sama, pengundi turut meletakkan kriteria-kriteria tertentu seperti pemilihan pemimpin, integriti dan faktor usia calon yang hendak dipimpin, namun tidak menjadikannya sebagai sandaran utama untuk memilih.

Seperti faktor individu atau parti politik, 62.8 peratus membuat pertimbangan terhadap kedua-duanya sebelum membuat pilihan, sebaliknya hanya 16.75 peratus memilih parti politik dan 20.5 peratus melihat individu bagi menentukan keputusan mereka.

Hal tersebut termasuklah pertimbangan terhadap kriteria umur calon apabila 63 peratus berpandangan usia tidak menjadi syarat utama dipilih, hanya 33.6 peratus daripada pengundi muda meletakkan kriteria itu sebagai faktor pemilihan iaitu calon berusia bawah 50 tahun dan 3.5 peratus mahukan pemimpin lebih muda.

Walau bagaimanapun, isu integriti masih menjadi pertimbangan utama kepada pengundi golongan itu dalam memilih wakil rakyat mereka apabila 68.7 peratus akan memastikan calon diundi bebas daripada kesalahan jenayah rasuah.

Namun, ada dalam kalangan pengundi muda atau 31.3 peratus percaya tidak ada pemimpin yang benar-benar bersih daripada jenayah tersebut sama ada terbukti atau tidak, menyebabkan mereka merasakan seolah-olah tiada pilihan dalam membuat keputusan.

Untuk rekod, seramai 9.77 juta pengundi akan mengundi di kesemua 3,450 pusat mengundi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN tahun ini termasuk pemilihan semula di Parlimen Kuala Terengganu.

Sebanyak 29 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang turut melibatkan seramai 661,905 orang berusia 18 hingga 20 tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×