5,190 anggota PDRM terlibat salah laku, integriti

5,190 anggota PDRM terlibat salah laku, integriti

KERATAN laporan Mingguan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 5,190 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib sejak 2020 hingga Jun tahun ini.

Jumlah itu melibatkan seramai 1,540 orang untuk tahun 2020; 1,571 orang (2021), 1,466 orang (2022) dan 613 orang pada enam bulan pertama tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah terbabit, seramai 3,032 pegawai dan anggota diberi amaran manakala 962 polis lagi dikenakan hukuman denda.

Katanya, turut diambil tindakan membabitkan seramai 496 pegawai dan anggota yang dilucut hak emolumen atau elaun-elaun tertentu.

“Seramai 132 anggota dan pegawai ditangguh pergerakan gaji manakala 49 orang diturun gaji dan 72 lagi diturunkan pangkat. Dalam tempoh sama, seramai 447 pegawai dan anggota dibuang kerja terutama mereka yang dibuktikan bersalah dalam kes pendakwaan di mahkamah.

“PDRM melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) komited mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang dikesan terlibat dengan pelanggaran salah laku integriti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Razarudin, pihaknya sehingga kini konsisten dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang ‘bermasalah’ agar isu ingriti tersebut tidak terus menjadi kanser yang menghancurkan PDRM.

Malah, jelas beliau, JIPS melakukan pemantauan dan risikan terhadap anggota serta pegawai bagi memastikan mereka tidak terlibat atau bersekongkol dengan sindiket jenayah.

“Ini termasuk pegawai dan anggota yang dikesan berhibur di premis-premis hiburan, terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta aktiviti tidak sihat.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan komitmen sepenuhnya daripada JIPS dan setiap kontinjen serta daerah bagi memastikan isu integriti warga PDRM dapat ditangani,” ujarnya.

Pada 6 Ogos lalu, beliau mendedahkan pihaknya akan memantau atau menyiasat pegawai atau anggota yang dikesan hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan yang diperoleh.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat melalui profiling melibatkan aset harta, perbelanjaan bulanan dan sebagainya.

“Mengambil contoh, jika gaji pegawai itu RM8,000 dengan tiga buah rumah dan tiga kereta. Kita akan siasat perbelanjaan rumah, kad kredit dan lain-lain sama ada ia setara dengan pendapatan atau tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN