SKMM: Tiada arahan sekat akaun TikTok Sanusi

SKMM: Tiada arahan sekat akaun TikTok Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan tiada sebarang arahan diterima daripada pihak berkuasa supaya menyekat akaun TikTok Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam satu kenyataan semalam, suruhanjaya itu menjelaskan pihaknya telah meneliti kenyataan Muhammad Sanusi yang menuduh kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok beliau.

“SKMM mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini,” katanya.

Menurutnya, platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti
yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mendakwa akaun TikTok beliau yang mempunyai lebih 432,600 pengikut tidak boleh diakses kerana dipercayai telah disekat.

Semakan Utusan Malaysia mendapati, media sosial itu masih wujud tetapi tidak boleh diakses meskipun pada mulanya dikatakan telah dipadam sehingga memaksa Pengarah Pilihan Raya Pas tersebut membuat akaun baharu.

Namun dakwa Muhammad Sanusi, akaun TikTok beliau itu hanya boleh dilayari di luar negara dan tidak di dalam Malaysia.

Sementara itu, berdasarkan maklumat garis panduan komuniti dikeluarkan Tiktok, keputusan penutupan akaun media sosial dibuat dengan mengambil kira pelanggaran serius termasuk menggalakkan atau mengancam dengan keganasan.

Menurut TikTok, kerajaan, ahli politik dan entiti berita memainkan peranan penting dalam proses sivik dan masyarakat sivil.

“Walaupun kami menganggap kandungan mereka sama seperti akaun lain dan mengeluarkan apa-apa pelanggaran, kami menggunakan pendekatan penguatkuasaan tahap akaun yang berbeza selaras dengan komitmen kami terhadap hak asasi manusia serta kebebasan ekspresi.

“Kami mengaplikasikan respons yang sepadan terhadap risiko kemudaratan yang mana kesannya terbatas terhadap ucapan bebas. Akaun kepentingan awam ini masih boleh disekat jika ada pelanggaran kandungan yang serius, seperti mengancam keganasan,” kata TikTok itu dalam satu makluman yang boleh dirujuk menerusi pautan https://www.tiktok.com/community-guidelines/ms-my/accounts-features/.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menerusi satu ceramah di Sik, Kedah mendakwa Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sedang bergerak menjadi seperti Korea Utara selepas perkembangan baharu yang menyaksikan akaun TikTok miliknya disekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, sekatan akaun media sosial tersebut menyebabkan beliau dan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menangkis serangan yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Takutnya mereka kepada media yang bebas, mereka padam habis, 5.2 juta (kesukaan) dah komen-komen pun, pengikut pun berjuta juga. Nak buat lain nak cari seorang pengikut payah juga kan? Lambat. Itulah zaman pemerintahan PH ini, negara Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara,” ujarnya.

Katanya, beliau kini diserang pihak lawan membabitkan beberapa isu termasuk berhubung pembelian banglo milik abangnya dan sekatan TikTok menyebabkannya tidak dapat menangkis tohmahan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat akaun TikTok pengguna di negara ini termasuk milik Muhammad Sanusi.

Katanya, ini kerana media sosial itu dimiliki oleh Bytedance.Ltd iaitu sebuah firma teknologi dari China.

Beliau berkata, TikTok sama seperti platform media sosial lain yang tertakluk dengan peraturan ditetapkan oleh pemiliknya.

“Kalau TikTok terima banyak aduan oleh pengguna lain, maka TikTok akan sekat akaun yang menjadi isu itu. Kiranya yang sekat TikTok kita ialah orang awam bukannya kerajaan. Orang awam buat aduan dan TikTok sekat,” katanya dalam Facebook beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×