Pesawat ke Kaherah nyaris terkena peluru berpandu Houthi

Pesawat ke Kaherah nyaris terkena peluru berpandu Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADEN: Dua peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi menyasarkan lapangan terbang di bandar pelabuhan Aden, selatan Yemen, malam semalam ketika sebuah pesawat penumpang sedang bersiap sedia untuk berlepas.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Menteri Penerangan Yemen, Moammar Al-Eryani, berkata peluru berpandu berkenaan mendarat kira-kira 500 meter dari pesawat Yemenia Airways bagi penerbangan IY612 ke Kaherah, serta 100 meter dari titik tengah landasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, beliau mengesahkan semua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat.

Serangan itu berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, manakala 16 lagi cedera dalam serangan Houthi ke atas kompleks istana presiden di Aden, menurut angka Kementerian Kesihatan.

Aden menjadi pusat pentadbiran kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015, tidak lama selepas perang saudara tercetus di negara itu.

Al-Eryani mengecam serangan pada Jumaat itu sebagai ancaman terhadap penumpang, kru penerbangan dan keselamatan penerbangan awam, sambil berkata kejadian itu berpotensi mengorbankan puluhan nyawa.

“Apa yang berlaku bukan sekadar serangan terhadap lapangan terbang awam, tetapi ancaman langsung terhadap nyawa penumpang dan kru penerbangan serta keselamatan navigasi udara, selain pelanggaran serius terhadap undang-undang dan norma antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, serangan terhadap lapangan terbang awam yang mengendalikan puluhan penerbangan setiap hari bukanlah pencapaian ketenteraan atau kemenangan yang boleh dibanggakan.

Menurut Al-Eryani, serangan itu turut mengancam keupayaan rakyat Yemen untuk melakukan perjalanan bagi mendapatkan rawatan perubatan atau melanjutkan pendidikan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini