Silibus Matematik tinggi dan padat punca murid tidak minat STEM

Silibus Matematik sekolah rendah tinggi dan padat punca murid tidak minat STEM

SILIBUS subjek Matematik perlu dirombak dengan menekankan keseronokan dan cara pembelajaran yang mampu meningkatkan minat pelajar mempelajari subjek itu bermula di sekolah rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Silibus Matematik sekolah rendah terlalu padat dan tinggi mengakibatkan pelajar tidak dapat menguasai kemahiran asas mengira dengan sepenuhnya sekali gus mendo­rong mereka enggan menyambung pengajaran ke aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad ber­kata, format pengajaran Ma­te­matik hari ini dilihat terlalu mengejar piawaian antarabangsa hingga mengakibatkan murid tergesa-gesa untuk menamatkan silibus sedangkan mereka tidak dapat menguasai kemahiran asas mengira dan membaca.

Katanya, ramai ibu bapa dan guru merugut dengan masalah tersebut setelah melihat sendiri anak-anak mereka yang masih tidak dapat mengira meskipun memasuki tahun dua, malah berdasarkan pemerhatiannya buku teks Matematik dan men­dapati kurikulum subjek ditetapkan terlalu padat.

“Bagi murid tidak memasuki pra sekolah, mereka berdepan masalah penguasaan Matematik berbanding mereka yang mene­rima pendidikan awal. Jadi silibus terlalu tinggi misalnya tahun satu sudah diajar perpuluhan, sedangkan mereka tidak mengenal nombor lagi. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menguasai tambah, tolak, darab dan bahagi pada peringkat seterusnya.

“Dalam menggubal silibus, ia perlu melihat dari segi pemba­ngunan kognitif dan tidak boleh terlalu abstrak, ia perlulah kepada penyelesaian masalah di samping mengenali konsep terlebih dahulu agar menjadikan Matematik sebagai satu subjek menyeronokkan dipelajari.

“Jika terlalu berat, maka akhir­nya murid tidak seronok belajar Matematik dan ia berterusan sehingga sekolah menengah, jadi ini antara punca anak-anak kurang sambung aliran STEM,” katanya.

Utusan Malaysia pernah melaporkan negara boleh kehila­ngan tenaga profesional tempatan ekoran enrolmen pelajar aliran STEM sekolah menengah masih di bawah 50 peratus enam tahun berturut-turut sejak 2017.

Kerajaan sebelum ini pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030, namun data setakat ini menunjukkan bilangannya adalah sekitar 40 peratus.

Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini, data terbaharu tahun 2020 menyaksikan enrolmen pelajar aliran STEM adalah sebanyak 40.94 peratus, manakala bagi lima tahun sebe­lumnya ialah 40.95 peratus (2021), 47.00 peratus (2020), 41.84 peratus (2019), 42.83 peratus (2018) dan 45.20 peratus (2017).

Justeru itu, Anuar berkata, sudah tiba masanya merombak silibus subjek Matematik dengan menekankan keseronokan dan cara pembelajaran yang dapat meningkatkan minat pelajar mempelajari subjek itu bermula di peringkat sekolah rendah.

“Sekolah rendah tidak perlu tekankan soal kecemerlangan, tetapi paling penting bagaimana untuk menarik perhatian murid dan menyebabkan mereka rasa seronok dan gembira ketika belajar.

“Berbanding negara maju, mereka menekankan aspek ini dalam pembelajaran sekali gus berjaya menarik minat pelajar untuk sambung aliran STEM di peringkat seterusnya,” katanya.

Presiden dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr Noraini Idris pula berkata, kurangnya teknik pengajaran dalam kalangan guru menyebabkan para pelajar tidak memahami silibus dengan baik sekali gus menjadikan mereka kurang memahami pembelajaran disampaikan.

Katanya, para pengajar hari ini dilihat sekadar mengajar berdasarkan teori semata-mata dan tidak mengaitkan dengan kehidupan seharian meskipun mempunyai silibus berkualiti dan menepati piawaian antarabangsa.

“Misalnya kalau subjek sains, anak-anak tidak diajar bagaimana untuk aplikasi dalam kehidupan seharian sama ada untuk pertanian atau pelbagai lagi. Mereka hanya untuk berdasarkan silibus ditetapkan kementerian.

“Para guru kena kreatif ketika penyampaian, jangan terlalu ikut silibus sahaja, pengajaran kena menyeronokkan supaya anak-anak tidak melihat STEM sebagai membosankan,” katanya.

Beliau justeru itu berkata, sudah tiba masanya para pengajar diberikan latihan pengajaran supaya mereka lebih kreatif ketika pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam kelas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×