PRN: BN semak semula kerusi MCA, MIC

PRN: BN semak semula kerusi MCA, MIC

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan menyemak semula kerusi yang diperuntukkan kepada MIC dan MCA selepas dua komponen parti itu memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN sebenarnya sudah menetapkan kerusi untuk MCA dan MIC pada PRN ini, namun jika itu yang mereka putuskan maka, ia akan dibincangkan kemudian termasuk pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai nanti.

“Malam tadi saya dihubungi Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tentang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi mereka dan kita telah baca kenyataan Setiausaha Agung MIC tentang kedua-dua parti untuk tidak sertai enam PRN negeri.

“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati keputusan dibuat kedua-dua parti itu. Ia keputusan tertinggi parti itu, namun, isu sama akan turut dibincangkan pada 10 Julai nanti.

“Kita sebenarnya telah tetapkan MCA dan MIC ada kerusi. Kalau itu mereka putuskan, kita akan bincangkan semula,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa dua parti itu akan tetap turun membantu kempen jentera BN pada PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Ditanya sama ada beliau akan memujuk semula dua parti itu untuk bertanding, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan, namun jika mereka tetap dengan keputusan, maka peruntukan kerusi itu akan diletakkan kembali bawah BN.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar jumlah kerusi yang diperuntukkan BN kepada MCA dan MIC.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menjelaskan, tindakan dua parti itu bukan dibuat atas dasar boikot sebaliknya mereka mempunyai alasan tersendiri.

“Saya fikir mereka mempunyai alasan sendiri dan kami hormati keputusan itu. Daripada wujud pelbagai spekulasi, lebih elok bincang dulu pada 10 Julai ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya