SABAK BERNAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah calon Perikatan Nasional (PN), Zaidi Selamat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.
Ketuanya, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, keputusan itu diperoleh hasil mesyuarat bersama peringkat cawangan Bersatu malam tadi yang menolak pencalonan Zaidi yang disifatkan sebagai calon luar.
“Kami membuat keputusan membantah dan menolak calon luar. Justeru, kami meminta Zaidi supaya menarik diri sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, bagaimanapun keputusan meletakkan Zaidi dibuat dan tiada perubahan calon dilakukan bagi DUN berkenaan.
“Beliau (Zaidi) bertanding atas tiket PN dan kita mesti menang walau di mana sekali pun. Semua ahli dan mana-mana pimpinan Bersatu Bahagian Sabak Bernam perlu akur dengan keputusan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pihak diminta membantu memenangkan calon yang dipersetujui di peringkat pusat.
Rabu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Zaidi sebagai calon DUN dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, Petaling Jaya.
Zaidi dijangka menentang penyandang kerusi DUN itu, Datuk Rizam Ismail daripada Barisan Nasional (BN).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rizam memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,440 undi selepas menewaskan calon Pas, Zamri Yahya dan Mohd. Hamizar Sulaiman (Bersatu). – UTUSAN










