Pilih tingkatan enam selangkah ke universiti

Pilih tingkatan enam selangkah ke universiti

NOR Syamimi Awatif Araman (kiri) dan Khairunnisa Che Roslan (kanan) melihat surat tawaran yang diterima menyambung pengajian ke tingkatan enam SMK Syed Sirajuddin, Kangar, Perlis, semalam. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengajian di tingkatan enam sebelum ini tidak menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan persepsi yang menunjukkan suasana pembelajaran di sekolah.

Bagaimanapun, kebelakangan ini memasuki tingkatan enam menjadi antara pilihan lepasan SPM selepas beberapa penambahbaikan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Nor Syamimi Awatif Araman, 18, berkata, dia memilih menyambung pengajian di tingkatan enam memandangkan ia merupakan jalan pintas ke universiti berbanding meneruskan pengajian ke peringkat diploma.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tempoh pengajian di tingkatan enam ini adalah lebih singkat iaitu dalam masa setahun enam bulan sahaja dan selepas itu saya boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai langkah Kementerian Pendidikan yang bakal melakukan penjenamaan semula tingkatan enam sebagai salah satu usaha bagi memastikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menjadi pilihan melanjutkan pelajaran.

Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, penjenamaan itu termasuklah memperkenalkan kelonggaran syarat rayuan kemasukan tingkatan enam.

Mengulas lanjut, Nor Syamimi berkata, walaupun mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun dia tetap memilih untuk meneruskan pembelajaran di tingkatan enam atas beberapa faktor antara membabitkan faktor kewangan.

Kata Nor Syamimi, ayahnya hanya melakukan kerja-kerja kampung dan disebabkan itu dia lebih memilih tingkatan enam berbanding ke universiti awam atas faktor kewangan.

“Selepas saya membuat penilaian maka saya pilih untuk sambung pengajian tingkatan enam kerana ia lebih menjamin laluan saya untuk ke universiti selepas ini. Di tingkatan enam saya juga hanya perlu fokus kepada empat mata pelajaran sahaja iaitu Pengajian Am, Perniagaan, Sejarah dan Bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar tingkatan enam SMK Syed Sirajuddin, Khairunnisa Che Roslan, 18, berkata, dia memilih untuk menyambung pengajian di peringkat itu sementara menunggu keputusan kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ujarnya, sekiranya gagal menerima tawaran ke IPG, dia akan kekal belajar di tingkatan enam susulan peluang yang lebih cerah untuk menyambung pengajian ke universiti selepas ini.

“Ramai orang beranggapan tingkatan enam susah dan sebagainya namun bagi saya, ia jalan pintas untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

“Saya sarankan mana-mana lepasan SPM agar dapat membuat penilaian dan mengkaji terlebih dahulu tentang kelebihan bakal mereka perolehi sekiranya menyambung pengajian di tingkatan enam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini