Manifesto Pas tidak beri manfaat kepada pengundi

Manifesto Pas tidak beri manfaat kepada pengundi

Projek perumahan mampi milik antara yang menjadi impian rakyat Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan pengundi terutama golongan muda mengakui manifesto yang ditawarkan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Ke-15 tidak memberi banyak manfaat kepada mereka.

Seorang kakitangan swasta yang ingin dikenali sebagai Radiah, 39, berkata, impiannya untuk memiliki rumah kos rendah masih samar meskipun kerajaan negeri dikatakan telah membina 20,000 unit rumah seperti yang dijanjikan dalam PRU-14 lalu.

“Saya pernah pergi temuduga untuk memiliki sebuah rumah teres kos rendah, namun masih gagal kerana dikatakan tidak berkelayakan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sedangkan ketika itu saya sedang berkhidmat secara kontrak.

“Saya berharap syarat pemilikan rumah akan dilonggarkan kerajaan negeri kerana saya mampu membayar ansuran bulanan yang ditetapkan cuma kriteria jawatan dan pendapatan tetap menjadi penghalang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang graduan yang masih menganggur, Hasif Ali, 27, berkata, peluang pekerjaan masih terhad di Terengganu dan jawatan kosong yang diiklankan mendapat permintaan tinggi umpama ‘goreng pisang panas’.

“Keadaan itu menyebabkan anak muda perlu berhijrah ke bandar besar lain untuk meneruskan kehidupan.

“Ramai juga kawan saya terpaksa ceburi ekonomi gig kerana tiada pilihan lain walaupun tiada jaminan masa depan yang cerah,” ujarnya.

Seorang kakitangan swasta, Nur Aini Khalid, 32, pula berkata, kerajaan negeri perlu memperbanyakkan lagi inisiatif bantuan untuk mendorong rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pelbagai sektor ekonomi terutama dalam industri pelancongan dan keusahawanan.

“Memang ada skim-skim pembiayaan tertentu yang ditawarkan agensi kerajaan Terengganu, namun hakikatnya ia bukan mudah diperoleh kerana saingan terlalu sengit.

“Lebih bagus sekiranya peruntukan itu ditambah lebih banyak agar ramai lagi yang dapat menikmati manfaatnya berbanding peruntukan sama diberi untuk program berunsur kerohanian semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×