Mangsa tragedi kepala air sempat minta maaf  kepada majikan - Utusan Malaysia

Mangsa tragedi kepala air sempat minta maaf  kepada majikan

MUHAMMAD Amirul Hakim Kamaluddin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Shahrizal Saliman di HSNZ, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Muhammad Fikri Saliman, 24, sempat meminta maaf kepada majikannya pada hari kejadian, Sabtu lalu.

Muhammad Amirul Hakim Kamaluddin, 31, berkata, pesanan itu diterima melalui WhatsApp daripada Allahyarham yang meminta maaf terpaksa bercuti lebih lama bagi menyelesaikan urusan perkahwinan sebelum tragedi kepala air tersebut.

Menurut pengurus restoran itu, dia tidak menyangka perbualan itu menjadi yang terakhir sebelum Muhammad Fikri gagal dihubungi sehingga mayatnya ditemukan selepas seminggu dilaporkan hilang.

“Selepas menerima WhatsApp itu pukul 2 petang, saya beritahu semoga urusannya dipermudahkan. Kemudian saya cuba menghubungi Acap (Muhammad Fikri) lagi pukul 7 malam, namun gagal.

“Usaha menelefon mangsa esoknya juga gagal. Pada hari Isnin, baru saya tahu kejadian menimpa Acap melalui salah seorang pelanggan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ), di sini, semalam.

Selain itu, Muhammad Amirul Hakim memberitahu, arwah dianggap seorang yang rajin dan ringan tulang serta rapat dengan pekerja yang lain sejak mula bekerja di restoran miliknya dua tahun lalu.

Jenazah Muhammad Fikri yang telah dibawa pulang ke Kampung Parit Kuda, Batu Pahat, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, pagi tadi.

Sementara itu,  seorang lagi mangsa, Putri Nor Fatin Karim, 14,  masih belum ditemukan  dalam tragedi tersebut, Sabtu lalu.

Lapan lagi mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Seorang lagi mangsa ialah anak tiri Karim, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, iaitu tunang kepada Muhammad Fikri. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya