Lorong khas untuk bas legakan warga kota

Lorong khas untuk bas legakan warga kota

WARGA kota di sekitar Jalan Ampang dan Pandan Indah boleh menjimatkan banyak masa perjalanan ke pusat bandar raya jika menaiki bas yang menggunakan lorong khas yang disediakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar raya pada waktu pagi memang tidak dapat dielakkan. Walaupun sudah dianggap biasa bagi warga kota tetapi Rapid Bus tidak pernah mengalah dalam usaha mengatasi masalah itu.

Terbaharu, Rapid Bus, subsidiari Prasarana Malaysia Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan lorong bas di Jalan Ampang menuju ke pusat bandar raya melibatkan bas dari Pandan Indah dan Taman Mulia Jaya.

Ku Jamil Zakaria

Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, lorong bas itu sedang dalam tempoh percubaan selama enam bulan bermula 3 Julai lalu bagi menilai keberkesanannya dalam membantu warga kota masuk pusat bandar pada waktu puncak pagi, sambutan pengguna dan penjimatan masa perjalanan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, masa perjalanan dapat disingkatkan sehingga 15 minit atau 20 peratus berbanding sebelum ini sejak lorong bas itu dimulakan.

Kata Ku Jamil, pihaknya memilih kawasan Ampang dan Pandan Indah meskipun kedua-duanya mempunyai kemudahan pengangkutan tren kerana pe­num­pang tidak perlu membuat per­tukaran platform di stesen Chan Sow Lin.

Lorong bas Jalan Ampang bermula dari persimpangan Jalan Rhu dan ber­akhir di persimpangan Jalan Tun Razak dengan jarak perjalanan sejauh tiga kilometer, serentak dengan tidal flow yang dibuka untuk kenderaan awam di lokasi sama.

“Pelaksanaan lorong bas ini akan memberi keselesaan kepada 13,000 penumpang sedia ada yang kini terpaksa ‘mengharungi’ tempoh perjalanan yang panjang pada waktu puncak disebabkan terperangkap dengan kesesakan lalu lintas.

“Dengan populasi penduduk yang tinggi di Bandar Baru Ampang, Mulia Jaya, Taman Dagang, Taman Kosas dan lain-lain, perkhidmatan lorong bas ini dijangka mampu menarik lebih ramai pengguna menggunakan bas untuk ke pusat bandar khususnya ke tempat kerja.

“Ini bermakna, pengguna kenderaan persendirian boleh bertukar mod kepada pengangkutan awam untuk ke pusat bandar sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Ampang,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, waktu operasi fasa pertama bermula pukul 6 pagi sehingga 9 pagi pada hari bekerja, manakala fasa kedua pula menghala ke Ampang bermula pukul 5 petang hingga 7 petang pada hari bekerja akan dimulakan selepas mendapat lampu hijau daripada DBKL.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Rapid Bus yang juga Pengarah Projek lorong bas, Zainurul Hakim Mohamad berkata, sambutan daripada pengguna amat memberangsangkan menyaksikan jumlah penumpang meningkat sebanyak 10 peratus bersamaan 1,300 penumpang sehari.

Katanya, lorong bas itu juga akan diperluas ke laluan-laluan lain jika mendapat sambutan daripada orang ramai.

Bagaimanapun, kata Zainurul, antara masalah dikenal pasti sejak lorong bas itu bermula ialah ‘pencerobohan’ laluan oleh kenderaan lain termasuk motosikal dan basikal tetapi masalah itu akan dipantau oleh DBKL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya