Lambakan udang import: KPKM tetap siasat walaupun tiada aduan rasmi - Utusan Malaysia

Lambakan udang import: KPKM tetap siasat walaupun tiada aduan rasmi

CHAN FOONG HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung lambakan udang putih import khususnya daripada kalangan penternak atau pengusaha udang yang terlibat.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, sebaliknya, isu lambakan udang itu hanya diketahui melalui laporan media atau sidang akhbar yang dikendalikan persatuan penternak semata-mata.

Bagaimanapun, beliau menambah, KPKM tetap menjalankan pemeriksaan lanjut dengan kerjasama beberapa agensi lain terutama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang bagi mengesahkan perkara tersebut.

“Kalau isu ini (lambakan udang import) memang berlaku, kemungkinan ia (masuk ke negara ini) bukan melalui cara yang sah dan boleh mengundang kepada isu biosekuriti dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, kemasukan udang putih yang tidak terkawal dikhuatiri akan mengakibatkan sebaran penyakit bawaan.

Sehubungan itu, ujar beliau, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama membantu mengambil sampel di pasar awam untuk mengenal pasti sekiranya terdapat bahan-bahan terlarang seperti antibiotik dan sebagainya dalam udang berkenaan.

Namun, katanya, sehingga hari ini tidak ada sebaran penyakit dapat dikenal pasti kerana tiada rekod bagi kemasukan udang tersebut secara seludup.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perikanan negeri, Zarina Zainuddin memberitahu, beberapa langkah kawalan kemasukan udang putih import telah dikenal pasti pihaknya setakat ini.

Antaranya, kata beliau, termasuk melaksanakan operasi bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi atau jabatan yang diketuai oleh Maqis bagi mengesan kemasukan udang yang diseludup.

“Selain itu, aktiviti persampelan pasca import oleh pihak KKM juga akan ditingkatkan bagi mengenal pasti sama ada produk udang import mengandungi bahan terlarang atau tidak serta meningkatkan kawalan di semua pintu masuk sempadan ke dalam negara (laut dan daratan),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya