SYDNEY: Sebuah restoran makanan laut terkenal di Sydney yang sering dipuji netizen kerana menyajikan sandwic udang kara terbaik, dilaporkan menjadi mangsa kecurian besar-besaran. Ini adalah kerana satu tan bahan udang kara dilarikan pencuri.
Kejadian itu melibatkan kecurian di restoran Kraka Seafood di Regents Park, barat Sydney, pada awal pagi Khamis.
“Kami mengesahkan bahawa pagi ini pada pukul 4.38 pagi (waktu tempatan) kira-kira satu tan udang kara telah dicuri dari lokasi kami di Regents Park,” tulis pengurusan Kraka Seafood menerusi hantaran di media sosial.
Pihak restoran bagaimanapun memberi jaminan bahawa insiden itu tidak akan menjejaskan waktu operasi mereka dan bekalan bahan mentah tetap mencukupi ketika siasatan lanjut dijalankan.
Berdasarkan data daripada Pasaran Ikan Sydney, harga bagi satu tan udang kara sering mencecah sehingga AUD$80,000 (RM224,742). Ia boleh meningkat sehingga AUD$130,000 (RM365,206) bergantung kepada spesies.
Rata-rata netizen mengecam tindakan pencuri berkenaan dan bersimpati dengan nasib yang menimpa perniagaan tersebut.
“Ramai yang tidak sedar bahawa perniagaan makanan menyimpan stok yang bernilai tinggi. Ini bukan jumlah yang kecil. Hormat kepada mana-mana pengusaha yang tetap terus beroperasi selepas terkena serangan seperti ini,” tulis salah seorang pengikut mereka di media sosial. – AGENSI










