Greenland, Antartika hilang 11.3 trilion tan ais dalam tempoh 50 tahun
 - Utusan Malaysia

Greenland, Antartika hilang 11.3 trilion tan ais dalam tempoh 50 tahun


LIPUTAN ais yang terdapat di Teluk Disko, Greenland. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Litupan ais di Greenland dan Antartika dilaporkan telah menyusut sebanyak 11.3 trilion tan sepanjang tempoh 50 tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan paras laut global melebihi 3 sentime­ter (sm), menurut dapatan kajian terbaharu.

Pasukan saintis polar antarabangsa telah berjaya menghasilkan gambaran paling lengkap berhubung kadar kehilangan ais daripada dua lapisan ais terbesar di dunia berkenaan menerusi analisis komprehensif.

Dapatan kajian yang diterbitkan Rabu lalu itu menunjukkan bahawa pencairan ais di Greenland milik Denmark itu telah menyumbang kepada kenaikan paras laut sebanyak 1.8sm manakala Antartika menyumbang seba­nyak 1.3sm sejak tahun 1976.

Secara keseluruhannya, sebanyak 84 peratus daripada gabungan kehilangan ais berke­naan berpunca daripada pergerakan glasier yang semakin pantas mengalirkan ais ke dalam lautan, manakala hanya 16 peratus berpunca daripada pencairan di permukaan.

Para saintis memberi amaran bahawa peningkatan paras laut ini telah meletakkan jutaan penduduk dalam risiko hakisan pantai dan bencana banjir kilat, situasi yang dijangka berterusan menjadi semakin buruk akibat krisis perubahan iklim.

Ketua Pengarang kajian berke­naan dari Universiti Northumbria, Dr. Ines Otosaka menjelaskan bahawa pemantauan sejak 1970-an membolehkan pasukan penyelidik memahami dinamik perubahan litupan ais sepanjang separuh abad lalu.

“Lebih empat perlima daripada ais yang hilang telah dilepaskan ke dalam lautan oleh pergerakan glasier yang semakin pantas, berbanding pencairan di permukaan.

“Ini menunjukkan trend jangka panjang kini dipacu oleh tindak balas dinamik lapisan ais terhadap pemanasan suhu lautan,” kata Otosaka.

Bagi melengkapkan kajian tersebut, para penyelidik mengabungkan 42 tinjauan satelit bebas yang melibatkan 27 misi satelit sejak era 1970-an.

Berdasarkan rekod keseluruhan, Greenland dan Antartika mengalami kehilangan 11,309 bilion tan ais antara tahun 1979 hingga 2023, dengan kadar penyusutan mencatatkan peningkatan drastik sejak beberapa dekad kebelakangan ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×