Ribuan penduduk bantah lambakan pelancong, bimbang pantai popular musnah - Utusan Malaysia

Ribuan penduduk bantah lambakan pelancong, bimbang pantai popular musnah

PENUNJUK perasaan membantah lambakan pelancong. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Kemelut isu lambakan pelancong di Mallorca kembali meruncing apabila ribuan penduduk tempatan turun mengadakan demonstrasi besar-besaran, lapor akhbar Daily Mail kelmarin..

Mereka berbuat demikian ekoran kebimbangan salah satu pantai paling popular di pulau itu bakal menerima nasib menjadi sebuah lagi kawasan yang terkenal dengan impak negatif pelancongan besar-besaran.

Dianggarkan sekitar 10,000 penunjuk perasaan sanggup meredah air laut di sebuah lokasi tumpuan pelancong di pulau berkenaan bagi menuntut perlindungan yang lebih baik terhadap kawasan pesisiran pantai dan khazanah alam semula jadi mereka.

Penduduk tempatan menzahirkan kebimbangan bahawa pelonggaran undang-undang perancangan fizikal oleh kerajaan akan membuka ruang luas kepada projek pembinaan hotel dan pangsapuri baharu, di samping pembinaan tempat letak kereta, talian elektrik serta aktiviti mengorek pasir pantai.

Sebagai simbolik bantahan, peserta perhimpunan bertindak membentuk rantaian manusia berskala besar di sepanjang pantai.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh beberapa pertubuhan termasuk kumpulan ekologi GOB, Terraferida dan platform kempen ‘Menys Turisme Menys Vida’  yang bermaksud kurangkan pelancongan dan lebihkan kehidupan.

Mereka berkumpul di pantai semula jadi S’Arenal de sa Ràpita bagi membantah dasar kerajaan Balearic yang disifatkan sebagai merosakkan.

Kumpulan itu juga menuntut perlindungan yang lebih ketat ke atas kawasan perlindungan semula jadi dan bimbang ahli politik akan merosakkan pantai serta taman semula jadi Es Trenc. 

Malah, penunjuk perasaan menegaskan mereka tidak lagi mempercayai janji pihak berkuasa yang mendakwa kawasan tersebut tidak akan diusik walau semeter pun.

“Sesiapa yang menyayangi Mallorca tidak akan memusnahkannya. Kami bukan meminta sesuatu yang utopia, sebaliknya menuntut langkah konkrit dan segera demi kepentingan bersama,” laung para peserta. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN