GEORGE TOWN: Permintaan terhadap udang dilaporkan meningkatkan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, namun, bekalan makanan laut itu khususnya di kawasan perairan selatan Pulau Pinang di sini berkurangan.
Menurut nelayan tempatan, Roslizan Ramli, 40, rata-rata pelanggan terutamanya yang berketurunan Cina mahukan udang yang bersaiz besar ketika musim perayaan ini.
“Kalau ikut harga pasaran, udang bersaiz besar atau gred premium ini harganya boleh mencecah antara RM120 hingga RM130 sekilogram di pasaran. Namun para nelayan kebiasaannya menjual kepada peraih sekitar RM70 hingga RM80 sekilogram bergantung kepada saiz dan campuran hasil tangkapan.
“Permintaan terhadap udang memang tinggi, tetapi, hasilnya pula tidak menentu. Ada masa dapat sikit sahaja, ada masa boleh cecah puluhan kilogram (kg) jika ‘kena’ kawasan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Roslizan, kawasan selatan Pulau Pinang menjadi antara lokasi tumpuan mendapatkan udang kerana kedudukannya terletak berhampiran dengan beberapa kawasan sumber seperti Sungai Udang, Bukit Tambun dan Juru.
Roslizan berkata, hasil tangkapan udang turut bergantung kepada faktor keadaan laut dan lokasi, menyebabkan bekalan tidak statik dari hari ke hari.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Arshad Omar yang menangkap ikan di perairan Pulau Betong berkata, situasi kekurangan udang ketika ini turut memberi kesan kepada harga di peringkat nelayan dan pasaran.
Menurutnya, udang yang ditolak kepada peraih dijual sekitar RM70 sekilogram, manakala harga jualan di pasar pula boleh mencecah hingga RM80 sekilogram bergantung kepada saiz dan kualiti.
“Udang memang kurang sekarang, tapi permintaan tinggi. Jadi, harga akan naik. Walaupun nelayan jual kepada peraih sekitar RM70, di pasar harga boleh jadi lebih mahal,” katanya.
Kata Arshad, keadaan hasil tangkapan udang juga tidak menentu kerana bergantung kepada cuaca dan pergerakan arus laut menyebabkan nelayan tidak dapat menjangkakan jumlah hasil setiap hari.
Selain udang, Arshad berkata, harga ikan bawal tambak turut menunjukkan peningkatan ketara apabila kini mencecah sehingga RM105 sekilogram di pasaran. – UTUSAN










