KKD tubuh 168 Komuniti Madani di Selangor - Utusan Malaysia

KKD tubuh 168 Komuniti Madani di Selangor

Madani
AHMAD Fahmi Mohamed Fadzil menyapa tetamu yang hadir pada Program Kita Madani dan Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dekat Bukit Changgang di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Sebanyak 168 Komuniti melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini akan ditubuhkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sebagai usaha mendekatkan Kerajaan Perpaduan dengan masyarakat.

Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, penubuhan komuniti tersebut bertujuan menyuburkan semangat kebersamaan serta mempromosikan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia Madani.

“Sehubungan dengan itu penganjuran program Kita Madani ini adalah untuk mendampingi masyarakat setempat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya, hari ini.

Beliau mengumumkan perkara tersebut ketika menyertai lebih 500 orang komuniti setempat sekitar Kuala Langat sempena penganjuran Program Kita Madani dan Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang merupakan sebahagian daripada aktiviti lawatan kerjanya ke Selangor.

Jelasnya, program Kita Madani menyediakan pelbagai aktiviti dan menawarkan khidmat agensi kerajaan persekutuan dan negeri, antaranya bimbingan keusahawanan digital, khidmat nasihat keselamatan siber, sukaneka, pameran motosikal berkuasa tinggi serta penyampaian sumbangan kepada asnaf.

Mengulas mengenai capaian internet, Fahmi berkata, internet kini menjadi antara keperluan asas kepada rakyat sebagaimana air dan elektrik.

“Sebagaimana kerajaan hari ini dan kerajaan sebelum ini telah meletakkan internet sebagai sebahagian keperluan asas.

“Maka penubuhan PEDi adalah untuk menyediakan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar selain menawarkan pelbagai kursus dan latihan berasaskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT),” ujarnya.

Tambahnya lagi, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha berterusan KKD dalam merealisasikan Dekad Keemasan Digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya